Jangan ganggu keluarga saya, kata Guan Eng


Lim Guan Eng berkata keluarganya banyak menderita akibat fitnah dan berita tidak benar daripada musuh politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2020.

KETIKA dirinya menghadapi pertuduhan rasuah, bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mendesak musuh politiknya untuk tidak menyasarkan keluarga beliau.

“Saya merasa tidak berdaya kerana gagal melindungi anak-anak saya. Sekarang saya merasa tidak berdaya kerana gagal melindungi isteri saya,” kata Setiausaha Agung DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

“Kepada seteru politik, jadilah anak jantan, nak serang saya, suka hati anda, tapi jangan jadi pengecut dan ganggu keluarga!” beliau menambah.

“Penahanan yang mengejutkan terhadap isteri saya, berhubung kait dengan saya, adalah cabaran terkini yang harus diharungi oleh kami sekeluarga,”

Lim berkata keluarganya telah menderita ekoran penglibatan beliau dalam politik, terutama dari tahun 1986 hingga 2008.

Beliau berkata bahawa keluarganya harus melalui pelbagai tekanan dan terpaksa mengunjungi beliau ketika dalam tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada tahun 1987 dan dipenjarakan di Kajang pada tahun 1998 kerana membela mangsa rogol Melayu di bawah umur.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu menambah bahawa keluarganya terpaksa menanggung derita ketika anaknya yang baharu berusia 15 tahun “diserang dengan kejam” oleh pemimpin dan blogger Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Wan Deri - atau lebih dikenali sebagai Papagomo - kerana mendakwa bahawa remaja lelaki itu menyerang secara seksual rakan perempuan di sekolahnya di Pulau Pinang.

“Pada usia yang begitu muda, menghadapi pembohongan dan tuduhan seluruh jentera media Barisan Nasional, dia amat terkesan dan saya merasa tidak berdaya kerana tidak dapat melindunginya sebagai seorang ayah.”

Lim berkata tidak ada tindakan yang diambil oleh polis terhadap Papagomo kerana menyebarkan pembohongan seperti itu walaupun “mangsa yang dikatakan”, pengetua sekolah dan Jabatan Pendidikan Pulau Pinang telah menafikan kejadian itu berlaku.

Beliau menambah bahawa Papagomo sekali lagi menyebarkan berita palsu pada bulan Mac tahun ini dengan menuduh bahawa anak lelakinya ditangkap di Lapangan Terbang Antarabangsa Singapura kerana cuba menyeludup wang tunai berjumlah RM2 juta, dan beliau ke Singapura untuk menjamin pembebasan anaknya.

Ketua Polis Negara kemudiannya menjelaskan bahawa tidak ada penangkapan seperti yang didakwa, dan Lim juga tidak melakukan perjalanan ke Singapura dalam tempoh itu.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin dalam sebuah jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Bagan minggu lalu berkata bahawa polis telah membuka kertas siasatan mengenai perkara tersebut - di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana menyebarkan kenyataan yang menjejaskan orang awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana menyalahgunakan kemudahan rangkaian.

Hamzah berkata bahawa siasatan telah selesai dan ia dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 13 Mei 2020 lalu.

Bagaimanapun, tidak ada tuduhan yang diajukan oleh peguam negara terhadap Papagomo dalam tempoh tiga bulan terakhir, kata Lim

“Sebaliknya, isteri saya Betty Chew didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram pada 11 Ogos, hanya empat hari setelah merakam kenyataannya dan menangkapnya pada 7 Ogos 2020.”

Beliau juga berkata bahawa Chew tidak memahami mengapa beliau didakwa atas pertuduhan pengubahan wang haram, sedangkan sebagai seorang peguam pendapatan beliau diperolehi dari yuran perundangannya.

Chew akan didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Anti-Keganasan dan Hasil Kegiatan Tidak Sah 2001, di Mahkamah Sesyen Butterworth Selasa depan.

Lim pula didakwa meminta suapan 10% daripada keuntungan projek lebuh raya dan terowong bawah laut bernilai RM6.3 bilion di Pulau Pinang pada hari Jumaat. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Beliau akan menghadapi tuduhan lanjut pada hari Isnin dan Selasa.

Semalam, bapa beliau, veteran DAP Lim Kit Siang mendesak kerajaan untuk mengugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap menantunya, Chew.

Katanya, pihak berkuasa mesti menjaga kehormatan dan maruah dengan tidak menyasarkan ahli keluarga pemimpin politik yang tidak bersalah. – 9 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen