Status ahli calon sokong Bersatu Blackout ditentukan Sabtu ini, kata lembaga disiplin


Zaim Ibrahim

Nasib penyokong Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu akan ditentukan Lembaga Displin Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

LEMBAGA Disiplin Bersatu akan memutuskan pada Sabtu ini status keanggotaan ahli parti yang menyokong kempen “Bersatu Blackout”, yang digerakkan oleh kumpulan penyokong Dr Mahathir Mohamad, kata Pengerusinya Megat Najmuddin Megat Khas.

Katanya, mereka berdepan risiko dipecat dari Bersatu, termasuk mereka yang disenaraikan sebagai calon dalam pemilihan parti yang sedang berjalan.

“Kita akan bincang perkara Sabtu ini dan tengok bagaimana.

“Mereka yang terlibat berdepan risiko dibuang daripada parti serta merta,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Megat Najmuddin diminta mengulas status ahli Bersatu yang bertanding dalam pemilihan parti tetapi secara terbuka diketahui menyokong Dr Mahathir, pengerusi Bersatu yang dipertikaikan, dan sekutunya yang sudah dipecat dari parti.

Pada 18 Julai lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Dr Muhammad Faiz Na’aman dipetik berkata lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding dalam pemilihan parti akan dilucutkan keahlian mereka kerana terlibat dalam gerakan “Bersatu Blackout”.

Pemilihan bagi jawatan Bahagian Bersatu yang ditangguh susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) disambung semula antara 10 hingga 26 Julai lalu. Semua bahagian pula akan bersidang serentak pada 22 Ogos untuk mesyuarat tahunan sekali gus menjalankan pemilihan jawatan tertinggi parti di peringkat pusat.

Bersatu Blackout merupakan kempen bantahan terhadap hala tuju Bersatu di bawah Presiden Muhyiddin Yassin, yang membawa parti keluar dari Pakatan Harapan untuk membentuk gabungan baharu bersama Umno – parti yang ditentang oleh Bersatu sejak awal penubuhannya.

Kempen yang menghitamkan logo merah Bersatu dimulakan oleh penyokong Dr Mahathir pada pertengahan Jun.

Pada 19 Julai, Dr Mahathir kembali ke pentas ceramah di Kedah untuk memberikan penjelasan mengenai isu semasa di bawah bendera “Bersatu Blackout”.

Bersatu yang baharu setahun jagung kini bergolak kerana kemelut kepimpinan.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Ogos, 2020.

Aduan pemilihan

Sementara itu, diminta mengulas status bantahan pemilihan parti di beberapa bahagian, Megat Najmuddin berkata segala aduan perlu dibawa kepada lembaga disiplin untuk tindakan lanjut. 

“Jika ada salah laku seperti beri duit, main duit… ada bukti, kita ambil tindakan. 

“Jika salah laku di peringkat pentadbiran, perlu buat aduan kepada setiausaha agung parti. 

“Tetapi setakat ini, saya belum terima lagi aduan,” jelasnya.

Sekurang-kurangnya tiga Bahagian Bersatu yang selesai menjalani pemilihan baru-baru ini dipertikaikan keputusan oleh ahli di akar umbi, antaranya Tebrau, Ketereh, dan Hulu Langat.

Di Tebrau, ahli akar umbi mendakwa pemilihan Mazlan Bujang sebagai ketua bahagian tidak sah dan meragukan kerana wujud salah laku dan penipuan semasa pemilihan.

Ahli akar umbi Bersatu Ketereh pula meminta pemilihan bahagian itu digantung kerana berlaku pelanggaran peraturan parti semasa mesyuarat dan pemilihan.

Keputusan pemilihan bahagian di Hulu Langat pula dibantah kerana jawatankuasa pemilihan parti didakwa mengumumkan kemenangan calon yang kalah semasa pengiraan. 

Bersatu kini terbelah kepada dua kem, antara penyokong Muhyiddin sebagai presiden parti dan Perikatan Nasional (PN) dan kumpulan yang setia bersama Dr Mahathir.

Pada hujung Mei, Bersatu mengumumkan pelucutan keahlian parti Dr Mahathir dan empat ahli parlimen Bersatu yang lain setelah mereka duduk di blok pembangkang ketika sidang Dewan Rakyat.

Mereka kemudian mencabar keputusan parti di mahkamah melalui saman yang difailkan antaranya terhadap Muhyiddin dan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 7 Ogos untuk memutuskan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi mahu membatalkan saman tersebut. – 7 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen