Dr Mahathir kembali ke pentas ceramah


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir Mohamad kembali ke pentas ceramah dalam kempen 'Bersatu Blackout' di Alor Setar, Kedah, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight, 19 Julai, 2020.

PENGERUSI Bersatu yang dipertikaikan Dr Mahathir Mohamad kembali menjelajah di pentas ceramah kali ini dengan kempen “Bersatu Blackout”, yang berlangsung malam tadi di Alor Setar, Kedah.

Kempen penerangan dan bantahan terhadap hala tuju Bersatu yang dibawa oleh presiden Muhyiddin Yassin itu menggunakan logo asal parti berwarna merah yang dihitamkan sebagai tanda protes.

Dr Mahathir yang ditemui selepas ceramahnya berkata kehadiran lebih 500 ahli akar umbi Bersatu menunjukkan tidak semua ahli parti menyokong Muhyiddin.

“Kita buat perjumpaan malam ini sebab ramai yang bertanya apa yang berlaku pada politik Malaysia, jadi saya cuba beritahu apa sebab-sebabnya,” katanya, yang baru 10 hari lalu menyambut hari jadi ke-95.

“Saya dapati ramai ahli Bersatu yang semangat. Mereka tukar logo merah kepada blackout (bergelap).

“Mereka tidak rasa senang dengan Muhyiddin dan mereka bersemangat untuk sokong Bersatu yang dahulu, bukannya Bersatu di bawah Muhyiddin,” tambahnya.

Program Bersatu Gelap malam tadi dibuka dengan ucapan timbalan presiden yang dipertikaikan Mukhriz Mahathir. Majlis berlangsung tertutup untuk wartawan tetapi disiarkan secara langsung melalui Facebook.

Dr Mahathir Mohamad di Alor Setar, Kedah, malam tadi. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2020.

Beberapa pimpinan kanan dan wakil rakyat parti juga hadir, antaranya Ahli Parlimen Kubang Pasu Amiruddin Hamzah dan bekas ketua penerangan sayap Pemuda Bersatu yang digugurkan Ulya Aqamah Husamudin.

Dr Mahathir, Mukhriz, dan Amiruddin adalah antara lima ahli Parlimen Bersatu yang gugur keahlian mereka dari parti kerana didakwa menyokong pembangkang.

The Malaysian Insight difahamkan program jelajah ini akan diteruskan di Perak, yang jadualnya sedang diatur.

Ini adalah kali pertama Dr Mahathir mengadakan ceramah mengenai perkembangan semasa politik Malaysia sejak percaturan menukar kerajaan pada hujung Februari lalu, yang menyebabkan pentadbiran Pakatan Harapan yang diterajuinya selama 22 bulan runtuh.

Perhimpunan seperti malam tadi sebelum ini tidak dibenarkan selepas kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac bagi membendung penularan Covid-19.

Dr Mahathir yakin kempen jelajahnya ini akan berkembang maju kerana mendapat sambutan baik ahli Bersatu di akar umbi.

“Saya percaya program ini akan berkembang, dimana-mana kita pergi ramai ahli akar umbi (yang sokong). Kadang-kadang pemimpin pula dibeli oleh Muhyiddin Yassin atau mereka diugut dan ditekan,” dakwanya.

Selain Dr Mahathir Mohamad, antara pemimpin Bersatu yang hadir termasuklah Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah dan Ulya Aqamah Husamudin. – Gambar Facebook, 19 Julai, 2020.

Kempen Bersatu bergelap ini dimulakan oleh penyokong Dr Mahathir sebulan lalu apabila mereka menukar gambar profil di media sosial dengan logo parti yang dihitamkan.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata tindakan Bersatu menggugurkan namanya dan beberapa pemimpin lain dari senarai calon yang bertanding dalam pemilihan parti sebagai tidak sah.

Dr Mahathir adalah calon tunggal untuk jawatan pengerusi, sementara Mukhriz calon presiden menentang Muhyiddin.

“Pengguguran ini tidak sah. Kami masih ahli (Bersatu) melainkan mahkamah kata pengguguran ini sah.

“Kami masih anggap sebagai ahli dan mahu bertanding jawatan (pada pemilihan Bersatu),” katanya.

Mahkamah Tinggi menetapkan 7 Ogos untuk memutuskan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi mahu membatalkan saman yang dikemukakan oleh Dr Mahathir dan beberapa yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Bersatu. – 19 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen