Nelayan didenda RM2,000 kerana anjing peliharaan cederakan wanita


KECUAIAN seorang nelayan membiarkan anjing peliharaannya menyerang dan mencederakan seorang wanita membawa padah apabila dia didenda RM2,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Melaka hari ini.

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu selepas Liew Sea Hai, 43, selaku orang kena saman (OKS), mengaku bersalah melakukan perbuatan itu. 

Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menyerahkan anjing peliharaannya kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) untuk tindakan lanjut. 

Liew didakwa dengan cuai menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan Purba Evita Kristina, 23, di hadapan rumah bernombor 5, Jalan Marikh 8, Taman Tanjung Minyak Perdana, pada jam 9.30 malam, 27 Julai lalu. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Raudhah Mazman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran terhadap tertuduh kerana video rakaman kes berkenaan telah tular. 

Bagaimanapun, peguam Surendran Chelvarajah, yang mewakili Liew, memohon mahkamah mengurangkan hukuman atas alasan anjing peliharaan anak guamnya telah diikat dengan rantai namun terputus menyebabkan ia keluar dari rumah yang terbuka pagarnya.

Mengikut fakta kes, anjing peliharaan OKS telah keluar dari sebuah rumah yang pagarnya terbuka dan menyerang mangsa menyebabkannya terpaksa bergelut lebih seminit dengan haiwan yang cuba menggigit lehernya, sebelum diselamatkan penghuni rumah berhampiran. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen