10 kes jangkitan tempatan dalam 15 kes baharu Covid-19


MALAYSIA hari ini melaporkan 15 kes baharu Covid-19, dengan 10 daripadanya adalah kes jangkitan tempatan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kes terbaru itu menjadikan jumlah kes Covid-19 Malaysia kini 9,038.

Lapan daripada 10 kes itu melibatkan warga Malaysia, dengan enam kes daripada Kluster Sivagangga di Kedah yang meledak apabila pemilik sebuah restoran yang baharu pulang dari India melanggar peraturan kuarantin rumah.

Kes ketujuh jangkitan tempatan melibatkan seorang warga Malaysia yang dikesan ketika menjalani saringan tempat kerja di Negeri Sembilan, dan kes kelapan dikesan di pintu masuk Labuan.

Dua kes jangkitan tempatan yang melibatkan warga asing pula, satu dikesan di Negeri Sembilan melibatkan seorang pendatang asing tanpa izin.

Satu lagi kes pula dikesan ketika saringan bersasar komuniti di Kuala Lumpur.

Lima lagi kes adalah kes import.

Sementara itu, 11 lagi pesakit disahkan pulih dan dibenar keluar hospital setakat tengahari tadi.

Ini menjadikan jumlah kes pulih Covid-19 di Malaysia kepada 8,713.

Kes aktif pula kini mencapai 200 kes.

Tiada kematian dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah korban wabak kekal 125 orang.

Dua kes dirawat dalam ICU dengan seorang daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan. – 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen