Kempen presiden Trump tuduh FB berat sebelah


Kempen pilihan raya pemilihan semula Presiden AS Donald Trump tuduh Facebook bersikap berat sebelah terhadap pemimpin AS itu setelah video dari laman Trump mengenai Covid-19 dikeluarkan. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2020.

KEMPEN pilihan raya pemilihan semula Presiden AS Donald Trump menuduh Facebook bersikap berat sebelah terhadap pemimpin AS itu setelah perkhidmatan jaringan sosial itu mengeluarkan video dari laman Trump mengenai kenyataan yang dikatakan palsu mengenai Covid-19.

Menurut agensi berita Sputnik, memetik laporan The Hill, Facebook – yang memutuskan untuk memerangi penyebaran maklumat palsu mengenai Covid-19 dan membuang kandungan palsu, mengeluarkan video dari halaman Trump.

Video berkenaan mengandungi petikan wawancara Fox News dengan pemimpin AS itu, di mana beliau berkata kanak-kanak “agak kebal” terhadap Covid-19.

“Presiden memetik satu fakta bahawa kanak-kanak  tidak mudah dijangkiti Covid-19. Di hari yang lain, satu lagi paparan mengenai Lembah Silikon dikeluarkan, secara terang-terangan tindakan berat sebelah terhadap presiden ini, di mana peraturan tersebut hanya dikuatkuasakan untuk satu pihak.

“Syarikat media sosial bukan penilai kebenaran,” kata wakil setiausaha akhbar kempen Trump Courtney Parella dalam satu kenyataan seperti yang dipetik The Hill.

CNN melaporkan Twitter semalam berkata ia melarang kempen Trump daripada menyiarkan tweet setelah akaunnya berkongsi video yang mengandungi maklumat yang tidak tepat mengenai Covid-19. – Bernama, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen