Pertimbangkan tangguh pendakwaan kes cuba bunuh diri


MINGGU ini, seorang lagi mangsa cubaan bunuh diri didakwa dan dijatuhkan hukuman undang-undang. Penganggur berumur 28 tahun tersebut didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan, individu yang disabit kesalahan tersebut boleh dikenakan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal memohon mahkamah agar mengenakan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh yang cuba membunuh diri dianggap “menyusahkan banyak pihak semasa kejadian”.

Pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak memberi kesan ke atas kesihatan mental rakyat Malaysia. Kehilangan pekerjaan, potongan gaji, rasa terasing berikutan penjarakan sosial, serta rasa gusar akan pandemik dan garis panduan yang sering berubah-ubah ialah antara beberapa faktor tekanan perasaan.

Seawal 28 Mac, seorang pesakit dalam pemerhatian untuk Covid-19 di Hospital Serdang cuba membunuh diri.

Pada April, seorang lelaki berumur 20 tahun di Sibu cuba membunuh dirinya dek rasa takut tidak dapat pulang ke kampung di Kapit kerana kehabisan wang. Dia turut disiasat di bawah Seksyen 309.

Pada Jun, seorang penganggur 42 tahun yang cuba menikam diri menggunakan serpihan tingkap dijatuhkan hukuman penjara selama sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Kemerosotan tahap kesihatan mental rakyat Malaysia jelas terlihat daripada 78 kes bunuh diri yang direkodkan sejak PKP dikuat kuasa pada 18 Mac hingga 9 Jun. Pada tempoh sama tahun lepas, jumlah kes bunuh diri sebanyak 64.

Menurut bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen) Liew Vui Keong, pada Disember 2019 Jabatan Peguam Negara menyatakan pindaan undang-undang sedia ada bagi memansuhkan cubaan bunuh diri sebagai kesalahan jenayah boleh dibentangkan di Parlimen seawal Jun 2020.

Malangnya, setelah disoal di Parlimen oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, menteri undang-undang kini iaitu Takiyuddin Hassan berkata pindaan tersebut masih diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.

Sementara kajian ke atas undang-undang masih dijalankan, saya mencadangkan kerajaan persekutuan mempertimbangkan moratorium terhadap pendakwaan atas cubaan bunuh diri.

Seperti disuarakan pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis kesihatan mental: mereka yang cuba bunuh diri perlu dibantu, bukannya dihukum penjara atau denda – terutama mereka yang hilang pekerjaan dan paling terkesan akibat krisis Covid-19.

Setiap cubaan bunuh diri yang gagal tidak patut dipandang sebagai beban, sebaliknya ia wajar dilihat sebagai satu nyawa berjaya diselamatkan.

Adakah kita akan memberi sokongan dan membantu mangsa yang terselamat kembali berdiri di atas kaki sendiri?

Atau adakah kita akan terus menekan mereka dengan undang-undang lapuk? – 6 Ogos, 2020.

* Lim Yi Wei ialah Adun Kampung Tunku.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen