Suspek kes pedofilia warga Perancis di Indonesia maut bunuh diri


Francois Camille Abello ditahan selepas didakwa mencabul lebih 300 kanak-kanak dan memukul mereka yang enggan melakukan hubungan seks dengannya. – Gambar EPA, 13 Julai, 2020.

SUSPEK kes pedofilia warga Perancis yang disyaki melakukan jenayah seksual terhadap lebih 300 kanak-kanak di Indonesia, meninggal dunia dipercayai akibat menggantung diri ketika dalam tahanan polis, semalam.

Ketua Hubungan Masyarakat Polis Metro Jaya (Polis Jakarta) Yusri Yunus berkata suspek ditemui Khamis lepas dalam keadaan tergantung dengan seutas wayar di dalam lokap Polis Metro Jaya.

“Selepas tiga hari menjalani rawatan, dia disahkan meninggal dunia,” katanya kepada wartawan hari ini.

Umar Shahab, seorang pegawai di Hospital Polis Nasional di Jakarta berkata doktor melaporkan pesara warga Perancis itu mengalami patah leher dan kecederaan itu menyebabkan bekalan oksigen tersekat.

Pesara itu ditangkap bulan lalu di sebuah hotel di Jakarta bersama dua gadis bawah umur di dalam biliknya.

Polis berkata mereka menjumpai video di komputer milik lelaki itu yang memaparkan perbuatan seks haram dengan lebih 300 kanak-kanak berusia antara 10 dan 17 tahun.

Mereka berkata dia akan mendekati kanak-kanak dan memikat mereka dengan tawaran pekerjaan sebagai model.

Mereka yang enggan melakukan hubungan seks akan dipukul.

Abello berdepan hukuman penjara seumur hidup atau hukuman ditembak mati oleh skuad penembak jika bersabit kesalahan di bawah undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia, termasuk tuduhan merakam jenayahnya itu. – AFP, 13 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen