Remaja 13 tahun bunuh diri akibat tekanan kerja sekolah


Zaim Ibrahim

Surat Hari Ibu yang ditulis remaja lelaki kepada ibunya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Ogos, 2019.

KURANG minat belajar dan tekanan di sekolah dipercayai punca seorang remaja lelaki berusia 13 tahun membuat keputusan untuk bunuh diri.

Remaja itu dipercayai menggantung dirinya di dalam bilik air rumahnya, pada malam Sabtu selepas mengadu terlalu banyak kerja sekolah.

Kejadian itu berlaku di flat Jalan Paya Terubong, Taman Sri Relau, George Town pada jam lebih kurang 10.55 malam.

Remaja itu masuk ke bilik mandi untuk mandi tetapi selepas 30 minit, dia tidak keluar dan menyebabkan bapanya berasa bimbang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, hasil siasatan polis terhadap ibu bapa remaja berkenaan, pelajar itu merupakan seorang yang kurang minat belajar dan prestasi pelajarannya juga lemah.

“Ibu bapa si mati maklum bahawa cikgu ada hubungi ibunya, beritahu bahawa remaja tidak buat kerja rumah dan si ibu menyuruhnya buat kerja rumah. 

Pada waktu kejadian, bapa remaja itu melihat anaknya masuk ke bilik air. Selepas lebih kurang 30 minit, bapanya sedar hanya mendengar bunyi air sahaja dan segera mengetuk pintu bilik air. 

Oleh kerana tiada respon, bapa si mati menolak pintu bilik air dan apabila dibuka, dia dapati anaknya menggantung diri dengan kain tuala,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Bapa remaja itu, berusia 49 tahun, cuba melakukan bantuan pernafasan (CPR) tetapi tidak berjaya.

Remaja itu kemudiannya di hantar ke Hospital Pulau Pinang dengan menaiki ambulans sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

Sebelum kejadian itu, ibu remaja berkenaan, menyuruh anaknya menyiapkan kerja sekolah tetapi dia memberikan alasan tidak mampu menghabiskannya.

Soal siasat turut mendapati remaja itu merungut apabila kerja sekolah diberikan terlalu banyak.

“Remaja itu ada mengadu banyak sangat homework seperti subjek Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia, Bahasa Cina, Sejarah, dan Geografi,” jelas Che Zaimani.

Tambahnya, ketika Hari Ibu yang lalu, remaja itu pernah memberikan satu surat kepada ibunya dalam Bahasa Cina.

“Terima kasih bagi mak jaga saya 13 tahun dengan sayang, bila saya ada masalah, mak ada bagi saya nasihat jangan buat silap, last sekali saya sayang sama mak, saya tulis sampai sini, Selamat Hari Ibu,” kata remaja itu dalam suratnya.

Hasil pemeriksaan, polis tidak menemui sebarang kecederaan atau pergelutan pada tubuh badan mangsa.

Polis juga tidak  menemui sebarang senjata di sekitar lokasi kejadian berlaku.

Laporan bedah siasat menunjukkan mangsa mati akibat gantung diri dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – 25 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen