Keputusan kes pembunuhan Rafik Hariri tangguh


Bekas perdana menteri Rafik Hariri maut dalam satu insiden apabila sebuah trak sarat bahan letupan diletupkan berhampiran kenderaan membawa Hariri pada 14 Februari, 2005. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2020.

TRIBUNAL Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menangguhkan keputusan kes pembunuhan bekas perdana menteri Lubnan Rafik Hariri susulan tragedi letupan di Beirut, semalam.

Mahkamah dalam satu kenyataan berkata keputusan kes itu yang sepatutnya dibuat esok ditangguhkan sehingga 18 Ogos.

Mahkamah memaklumkan Tribunal Khas untuk Lubnan (STL) turut bersedih dan terkejut dengan tragedi yang melanda negara itu.

“Pihak tribunal menzahirkan solidariti bersama rakyat Lubnan yang ketika ini sedang melalui detik yang begitu sukar,” katanya dalam kenyataan sama.

Rafik terbunuh dalam serangan bom di Beirut pada 2005 sehingga mencetuskan pergolakan di Lubnan selama bertahun-tahun.

Insiden letupan berkembar itu berlaku beberapa hari sebelum Tribunal Khas PBB menjatuhkan hukuman terhadap empat lelaki yang dituduh membunuh Rafik dan 21 individu lain dalam satu kejadian pengeboman pada 2005.

Suspek dikenal pasti sebagai anggota kumpulan militan Iran, Hizbullah. Salim Ayyash, 56, dituduh menjadi dalang dalam insiden pengeboman itu, ketika meletupkan sebuah trak sarat dengan bahan letupan berhampiran kenderaan yang membawa Hariri pada 14 Februari, 2005. – AFP, 6 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen