Australia catat lagi 15 kematian akibat Covid-19


Penjalan kaki memakai topeng muka ketika melintas jalan di Sydney, Australia. Negara itu merekodkan 19,444 kes Covid-19 dengan jumlah kematian yang meningkat hampir setiap hari. – Gambar EPA, 5 Ogos, 2020.

AUSTRALIA merekodkan hari terburuknya apabila korban akibat wabak Covid-19 meningkat kepada 247 orang selepas pihak berkuasa Victoria mengumumkan 15 lagi kematian baharu pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

Kematian itu termasuk membabitkan seorang lelaki berusia 30-an manakala 10 daripada 15 korban dikaitkan dengan pusat penjagaan orang tua.

Timbalan Ketua Pegawai Perubatan Australia Michael Kidd pada Rabu berkata jumlah kematian yang dilaporkan adalah yang tertinggi di negara itu dalam tempoh sehari.

Pada Rabu petang, terdapat 19,444 kes Covid-19 di Australia dan jumlah kes baharu sebanyak 739.

Peningkatan kes itu berlaku ketika aktiviti perniagaan tidak penting di Melbourne diarah ditutup selama enam minggu, bermula tengah malam Rabu malam di bawah langkah-langkah sekatan pergerakan tahap empat.

Pihak berkuasa Victoria mendedahkan pada Selasa, anggota Pasukan Pertahanan dan pegawai kesihatan melakukan pemeriksaan mengejut di 3,000 kediaman yang sedang menjalani pengasingan dan mendapati lebih 800 orang tiada di rumah. – Bernama, 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen