Bekas presiden Colombia dikenakan tahanan rumah


Bekas presiden Colombia Alvaro Uribe berdepan tuduhan melakukan rasuah dan penipuan.– Gambar EPA, 5 Ogos, 2020.

BEKAS presiden Colombia Alvaro Uribe pada Selasa berkata Mahkamah Agung mengenakan perintah tahanan rumah terhadapnya kerana dituduh melakukan rasuah dan penipuan, lapor agensi berita Xinhua.

“Merampas kebebasan saya menyebabkan saya sangat sedih kerana isteri, keluarga dan rakyat Colombia masih percaya saya telah melakukan sesuatu yang baik untuk tanah air,” tulis Uribe di Twitter.

Perintah itu dikeluarkan selepas siasatan dijalankan terhadap Uribe. Pada 2012 Uribe menuduh Senator Ivan Cepeda mengatur rancangan untuk mengaitkannya dengan kumpulan anggota separa tentera. 

Uribe cuba untuk menyaman Cepeda, sebaliknya Mahkamah Agung memutuskan untuk menyiasat bekas presiden itu.

Presiden Colombia Ivan Duque, yang juga anggota parti Centro Democratico, diasaskan Uribe, menyuarakan keyakinannya bahawa Uribe tidak bersalah.

Parti Centro Democratico mengumumkan akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu dan akan mengeluarkan kenyataan kemudian. 

Uribe berkhidmat sebagai presiden dari tahun 2002 hingga 2010. – Bernama, 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen