Jual bas pelancong elak syarikat gulung tikar


Zaim Ibrahim

Pemain industri pelancongan berkata walaupun sektor dibuka semula sejak awal Mei, ia belum mendapat sambutan orang ramai dan memaksa mereka menjual aset syarikat seperti bas persiaran. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 6 Ogos, 2020.

PEMILIK syarikat agensi pelancongan mula menjual aset perniagaan yang terjejas teruk sejak kerajaan menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung pandemik Covid-19, lebih empat bulan lalu.

Langkah itu mereka ambil selepas sektor pelancongan yang dibuka semula sejak awal Mei lalu belum juga mendapat sambutan daripada orang ramai, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Sesetengah mereka yang sebelum ini menggajikan pekerja sekarang bekerja makan gaji termasuk jadi pemandu lori, jurulatih sekolah memandu, dan membawa teksi untuk menanggung keluarga.

Pengusaha syarikat pelancongan Ahmad Ruslan Abdul Latiff memberitahu The Malaysian Insight beliau sudah tidak lagi mampu bertahan dan mahu menjual syarikatnya selepas lapan bulan tiada pendapatan.

Beliau mengusahakan syarikat sendiri sejak 10 tahun lalu selepas beberapa tahun menimba pengalaman bekerja dengan orang. Syarikatnya yang beroperasi di Kulim Kedah mempunyai empat buah bas persiaran.

“Pendapatan terakhir saya pada Disember 2019. Kita buat trip terakhir pada bulan itu dan bayar gaji pekerja untuk Januari 2020.

“Sejak itu, syarikat ini tiada pendapatan langsung dan saya terpaksa jual syarikat,” katanya, yang kini bekerja sebagai pemandu lori.

Menurut Ruslan, sejak awal Mei lalu, syarikatnya ada menawarkan pakej pelancongan dalam negara dengan harga yang lebih murah namun tidak begitu mendapat sambutan.

“Memang rasa sedih dan sayang nak lepas perniagaan ini, tapi kalau kita jaga pun tiada bisnes, lebih baik saya jual untuk tampung perbelanjaan keluarga,” kata bapa kepada empat anak itu.

Bukan senang buka bisnes lain

M Thiruppathy, seorang pengusaha agensi pelancongan di Bentong, Pahang, juga baru-baru ini mengiklankan sebuah bas persiaran untuk dijual selepas syarikatnya berdepan masalah perniagaan.

“Saya tidak mahu tutup syarikat, saya nak jual sebuah bas dahulu untuk jadikan modal bina perniagaan lain,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Bidang pelancongan sekarang sukar untuk bertahan. Selagi kerajaan belum buka sempadan kami hadapi kesukaran sebab syarikat seperti saya juga membawa pelancong dari luar ke dalam Malaysia.”

Beliau mengakui susah untuk mendapatkan pelancong tempatan walaupun pihaknya menawarkan promosi pakej pelancongan lebih murah sejak awal Mei.

“Kita hanya dapat balik satu perlima daripada pelanggan sebelum Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Itu pun kadang-kadang terpaksa macam minta sedekah, letak harga yang paling murah supaya ada juga pelancong. 

“Walaupun kerajaan menggalakkan pelancongan domestik, tapi orang lebih suka naik kereta berbanding bas persiaran.”

Ahmad Ruslan Abdul Latiff mengakui tidak lagi mampu bertahan dan mahu menjual syarikat pelancongannya selepas lapan bulan tiada pendapatan. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Ogos, 2020.

Thiru bagaimanapun mendedahkan bukan mudah juga untuk membuka perniagaan lain sekarang, terutama dengan latar belakangnya sebagai pemilik syarikat agensi pelancongan.

“Kita mohon pinjaman bank pun ditolak, mungkin sebab kami golongan berisiko,” tambahnya, yang menubuhkan syarikat agensi pelancongan pada 2004.

Sementara itu, Ismail Jusoh yang mengendalikan perkhidmatan pelancongan ke luar negara juga menimbang untuk menutup terus perniagaannya di Pulau Pinang.

“Semasa awal PKP saya mampu bayar gaji separuh sahaja kepada 10 kakitangan.

“Sekarang pejabat pun sudah tidak ada, tutup sebab tak mampu bayar duit sewa. Semua pekerja pun sudah dapat kerja baharu.

“Saya 50-50 nak teruskan perniagaan atau tidak, tengah fikir lagi. Nak teruskan takut tidak ada bisnes,” katanya.

Jelas Ismail, kalau nanti kerajaan membuka semula pelancongan ke luar negara, beliau mahu beroperasi secara kecil-kecilan berbanding sebelum ini ketika beliau membawa 30 hingga 40 orang ke luar negara.

“Lesen pelancongan saya simpan… tarikh tamat tempoh pun 2022.

“Mungkin saya operasi ikut permintaan… kumpulan kecil, tak bawa ramai macam dahulu,” tambahnya.

Walaupun sudah melonggarkan pergerakan untuk pelancongan dalam negara, Putrajaya sehingga ini masih mengenakan sekatan kepada perjalanan ke luar negara. Kebanyakan negara juga setakat ini masih menutup pintu sempadan kepada pelancong asing.

Minggu lalu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri mengumumkan butiran Skim Pembiayaan Sektor Pelancongan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM1 bilion, yang sudah dibuka untuk permohonan.

Skim itu bertujuan untuk memulihkan semula perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pelancongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19. 

Di bawah skim itu, mereka yang layak boleh memohon pinjaman antara RM75,000 hingga RM300,000 dengan kadar pembiayaan tidak lebih 3.5% setahun bagi tempoh pembiayaan sehingga tujuh tahun.

Mereka yang layak juga diberi kemudahan menangguhkan pembayaran balik pinjaman sehingga enam bulan bagi membantu aliran tunai.

Antara yang layak menerima bantuan termasuk pengusaha hotel bajet, inap desa, chalet dan rumah peranginan, agensi pelancongan serta pengangkutan termasuk pengusaha bas, bot dan kereta sewa. – 6 Ogos 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen