Komuniti transgender mohon tidak terus dipinggirkan


Alfian Z.M. Tahir

Golongan LGBT di Malaysia mahu kerajaan memberi mereka ruang untuk berbincang mengenai isu yang membelenggu selama ini dan jalan penyelesaiannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Ogos, 2020.

KUMPULAN minoriti seksual mendesak kerajaan agar tidak berterusan meminggirkan mereka dan memastikan golongan ini terlibat dalam perbincangan bagi memastikan masalah dihadapi dapat diselesaikan.

Mereka berkata ingin mengadakan perbincangan dengan menteri hal ehwal agama serta Kementerian Kesihatan dan Kementerian Dalam Negeri untuk membincangkan isu kesihatan dan keselamatan.

Gesaan ini dibuat selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bersedia bertemu dengan kumpulan masyarakat sivil untuk membincangkan isu berkaitan komuniti lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Beliau berkata demikian selepas mengeluarkan arahan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap komuniti transgender.

Presiden Pelangi Numan Afifi memberitahu The Malaysian Insight adalah penting komuniti LGBT diberi perhatian berhubung penjagaan kesihatan dan perlindungan yang betul.

“Kami juga bersedia menemui menteri hal ehwal agama mengenai isu penangkapan golongan transgender.

“Bagaimanapun, penting juga untuk ditegaskan yang kami juga terbuka untuk berdiskusi dengan menteri kesihatan mengenai masalah kesihatan melibatkan komuniti LGBT, dan dengan kementerian dalam negeri mengenai masalah keselamatan,” kata Numan.

Pada 10 Julai, Zulkifli mengumumkan dalam sebuah posting di media sosial yang beliau memberi pihak berkuasa Jawi “lesen penuh untuk melakukan tindakan penguatkuasaannya” terhadap transgender.

Beliau menjelaskan arahannya bukan sekadar penangkapan transgender, tetapi juga memberi mereka “pendidikan agama” sehingga mereka “kembali ke jalan yang benar”.

Bagaimanapun, Numan berkata Zulkifli masih belum bertemu dengan kumpulan LGBT walaupun sudah membuat temujanji dua minggu lalu.

“Kami belum menerima jemputan daripada Dr Zulkifli setakat ini,” katanya.

Aktivis transeksual terkemuka, Nisha Ayub berkata beliau berharap pertemuan dengan Zulkifli dapat diatur dalam waktu dekat.

Beliau mendedahkan susulan perintah penangkapan oleh Zulkifli, banyak transgender meluahkan kebimbangan akan ditahan.

“Kami berharap pertemuan itu akan dapat dibuat. Saya dapat tahu beberapa kumpulan lain juga ingin bertemu menteri tetapi ia masih belum dapat berbuat demikian.

“Sejak kenyataan menteri itu dilaporkan, banyak yang datang dan memberitahu kebimbangan mereka. 

“Bimbang ditangkap. Bagaimana jika mereka ditangkap ketika cuba membeli makanan atau barang makanan untuk keluarga mereka,” kata pengasas Seed - kumpulan penyokong komuniti LGBT.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 2019 mengeluarkan laporannya mengenai Orang Transgender di Kuala Lumpur dan Selangor yang menyaksikan ramai transgender ditemu ramah berkata mereka sering berdepan tangkapan, diskriminasi dalam mendapatkan pekerjaan, dan bahkan diskriminasi mendapatkan perumahan kerana identiti jantina mereka.

Sebahagian besarnya pernah mengalami keganasan kerana identiti jantina mereka.

Suhakam mengesyorkan kepada kerajaan untuk meningkatkan kesedaran dan pendidikan di kalangan pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa kerajaan dan dialog diadakan berhubung isu ini.  – 5 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen