Pejabat akhbar diserbu di Senegal


Penyokong Serigne Moustapha Sy berang apabila akhbar Les Echos melaporkan pemimpin politik di Senegal itu dijangkiti Covid-19. – Gambar fail Facebook, 4 Ogos, 2020.

PENYOKONG pemimpin politik di Senegal menyerbu sebuah pejabat akhbar selepas ia melaporkan tokoh terkenal itu dijangkiti Covid-19.

Les Echos pada Isnin di laporan muka depannya memaparkan pemimpin kumpulan Tijaniyya, Serigne Moustapha Sy, yang juga ketua parti PUR, dijangkiti Covid-19 dan dimasukkan ke hospital utama di Dakar.

Parti PUR menafikan berita itu dan mengeluarkan amaran terhadap syarikat akhbar terbabit.

Pegawai di pejabat akhbar itu, Cheikh Oumar Ndao berkata empat atau lima penyerang tiba di pejabat penerbit akhbar itu pada 1 petang semalam.

“Mereka minta jumpa penulis artikel berkenaan Moustapha Sy, mengugut dan merosakkan peralatan di pejabat termasuk tujuh komputer dan set televisyen,” kata Oumar Ndao.

Dalam satu kenyataan berhubung berita di akhbar itu, setiausaha pemuda PUR Habib Ndiaye berkata laporan itu menipu.

“Jangan kacau dia,” kata kenyataan itu, tetapi tidak menyebut tentang serangan di pejabat akhbar berkenaan.

Majlis Pengarang Senegal mengutuk serangan itu dan mengingatkan kerajaan tanggungjawabnya melindungi wartawan dan organisasi media.

Senegal pada masa ini mencatatkan 10,386 kes jangkitan koronavirus dengan 211 kematian. – AFP, 4 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen