Israel bunuh 4 pengebom di sempadan Syria


Israel berkata Damsyik bertanggungjawab terhadap serangan pengebom tersebut. – Gambar AFP, 3 Ogos, 2020.

TENTERA Israel membunuh empat lelaki yang meletakkan bahan letupan di pagar keselamatan di kawasan Dataran Tinggi Golan Israel, Kawasan itu juga berdekatan dengan wilayah yang dikuasai Syria.

“Mereka berada di dalam wilayah Israel tetapi di luar pagar,” kata jurucakap tentera, Leftenan Kolonel Jonathan Conricus kepada wartawan.

Beliau berkata sebuah unit komando Israel yang berkawal menyerang mereka pada pukul 11 malam hari Ahad dengan senapang penembak tepat di samping turut dibantu serangan udara.

“Sekura-kurangnya empat terbunuh,” kata Conricus dalam bahasa Inggeris di samping turut menambah bahawa tidak ada korban dari pihak Israel.

Ketegangan semakin tinggi antara dua musuh tradisi Israel dan Syria.

Bulan lalu, helikopter tentera Israel menyerang sasaran ketenteraan di selatan Syria sebagai balasan terhadap tembakan “peluru” ke arah Israel sebelum ini.

Israel tidak menyalahkan pasukan Syria berhubung tembakan peluru itu secara jelas, tetapi berkata Damsyik bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.

Beberapa media Israel melaporkan bahawa tindakan ketenteraan itu adalah sebagai tindak balas terhadap peningkatan ancaman dari kumpulan Syiah Lubnan, Hizbullah, yang memiliki pengaruh besar di Syria.

Conricus berkata tentera Israel melakukan siasatan di kawasan kejadian bagi mendapatkan petunjuk namun beliau tidak dapat menghubungkan serangan semalam dengan kumpulan Syiah Lubnan itu atau penajanya di Tehran.

“Kami tidak tahu pada tahap ini dan kami tidak dapat mengesahkan hubungan antara skuad pengganas ini dengan Hizbullah atau Iran,” katanya.

“Kami tahu bahawa terdapat banyak puak yang beroperasi di Syria.”

Beliau turut menambah bahawa orang awam Israel di Dataran Tinggi Golan, tidak terjejas akibat serangan itu dan menjalani kehidupan seperti biasa. – AFP, 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen