Muafakat boleh menang jika pertandingan satu lawan satu, kata Hadi 


Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata tidak mustahil untuk Muafakat Nasional mencapai majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum akan datang.– Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2020.

MUAFAKAT Nasional (MN) boleh menang dengan majoriti mudah pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan syarat ianya pertandingan satu lawan satu dengan pembangkang, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepada Utusan Malaysia. 

Dalam sesi wawancara dengan akhbar berkenaan, Hadi berkata ia juga terpakai kepada Bersatu, yang bakal menyertai MN.

Hadi berkata selagi ia dipersetujui semua parti dalam MN, pertandingan dua penjuru akan membolehkan majoriti mudah 112 kerusi Parlimen dicapai, malah tidak mustahil juga majoriti dua pertiga 148 kerusi.

“Sekiranya gabungan ini bertanding dua penjuru, besar lagi lah kita punya kemenangan. Apa yang penting ialah dua penjuru. Ini mesti kita tegaskan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Hadi berkata, semua parti dalam MN perlu ikhlas dan tidak melakukan pengkhianatan dengan sabotaj sesama sendiri.

Sama ada PAS atau Umno yang mendapat kerusi lebih besar, “masing-masing jangan khianat,” tambahnya.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata sekiranya sesebuah parti itu menang lebih banyak kerusi, parti yang mempunyai lebih banyak kerusi juga tidak boleh tinggalkan gabungan itu.

“Yang penting, kita setia kepada perjanjian, iaitu piagam MN.”

Hadi turut menegaskan rundingan kerusi perlu diserahkan kepada pimpinan PAS dan Umno tanpa campur tangan akar umbi, yang mempunyai pandangan mereka sendiri berhubung perkara itu.

MN secara rasminya ditubuhkan September tahun lalu, selepas Umno dan PAS menjalinkan kerjasama berikutan kejatuhan Barisan Nasional daripada kerajaan persekutuan pada pilihan raya umum 2018.

Bersatu yang meninggalkan Pakatan Harapan pada Februari tahun ini akan membentuk kerajaan baharu dengan BN, Gabungan Parti Sarawak dan bekas ahli Parlimen PKR, kini kurang sokongan akar umbi kerana pecahan dalam parti antara penyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan bekas pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.

Menurut penganalisis, Bersatu sendiri tidak akan mampu bertahan pada pilihan raya umum akan datang dan berada pada kedudukan sukar untuk rundingan kerusi dengan Umno, kerana beberapa kerusi Bersatu kini disandang oleh pembelot dalam Umno. – 3 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen