313 kes baharu Covid-19 di Singapura, 5 kes import 


Orang ramai memakai pelitup muka ketika keluar daripada stesen kereta api bawah tanah di Singapura.– Gambar EPA, 2 Ogos, 2020.

SINGAPURA mencatat 313 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam lepas, dengan lima lagi kes import.

Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu dalam data ringkas yang dikeluarkan 12 tengah hari tadi berkata semua kes import itu telah diserahkan Notis Duduk Di rumah sebaik sahaja tiba di negara itu.

Berdasarkan siasatannya setakat ini, MOH berkata terdapat juga satu kes di dalam komuniti melibatkan seorang pemastautin tetap.

Sementara itu, majoriti kes adalah daripada pekerja asing yang tinggal di asrama.

Dengan kes terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes di republik itu mencecah 52,825.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 704 sebagai kes import, 2,180 kes komuniti dan 49,628 penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, 46,740 atau kira-kira 90 peratus daripada jumlah keseluruhan kes sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti.

Terdapat 117 kes disahkan masih berada di hospital, dan daripada jumlah itu kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur-ansur pulih dan tiada yang dimasukkan ke dalam unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,628 pesakit dengan gejala ringan atau sihat dari segi klinikal tetapi masih lagi positif dalam saringan Covid-19 telah diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di Singapura.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. – Bernama, 2 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen