Hari raya pilihan raya


Zainal Rashid Ahmad

SAYA mengirim pertanyaan kepada beberapa rakan akrab di Sabah apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan sehari sebelum Hari Raya Haji.

Saya menyindir dengan sarkastik: “Anda bertuah, di Sabah ada dua hari raya diumumkan tahun ini. Harap anda berbangga kerana sehari sebelum Raya Haji anda mendapat pilihan raya negeri.”

Mereka menjawab lebih sarkastik: “Insyaallah, kita beraya sama-sama kerana keadaan di Semenanjung juga sudah retak menanti belah. Kita akan sama-sama menuju hari raya nasional.”

Sejak 2018, kiriman WhatsApp berkaitan politik dengan nada sindiran bukan aneh. Ia bukan berniat menyakiti hati rakan-rakan. Sebalik bergurau cara sinikal.

Trend ini tanda betapa teruknya kita semua menyimpan rasa kecewa, sakit hati dan marah terhadap keadaan politik. Suasananya yang jelik lagi buruk di negara ini.

Apa pun, sebagai orang yang matang kita mengelakkan paparan “protes murahan” secara terbuka di media sosial.

Tidak perlu kita berusaha menjadi “pandai politik” dengan keadaan mabuk “posting” politik dari awal pagi hingga larut malam.

Sebaliknya, kiriman WhatsApp secara personal kepada rakan-rakan akrab yang meminati politik menjadi satu amalan komunikasi yang lebih matang. WhatsApp sinis dan sarkastik satu amalan baharu untuk berkongsi rasa kecewa.

Malah, 18 juta pemilik telefon pintar di negara ini, pasti majoritinya juga menggunakan WhatsApp sebagai alat komunikasi politik.

Tanpa perlu menjadikan Facebook dan Instagram sebagai “punching bag”, ramai memilih untuk menzahirkan kemarahan dan sakit hati secara tertutup melalui komunikasi personal WhatsApp.

Ini stail komen politik bagi orang matang yang berdiskusi dan berargumentasi tanpa perlu mencipta kontroversi.

Kita tidak perlu “limelight” di media sosial sebagai jagoan komen politik.

Lagi pun 26.8 juta pemilik akaun Facebook sebenarnya sudah berada pada tahap “termuntah” untuk membaca jutaan muat naik status politik saban hari.

Raya dalam mod pilihan raya

Raya Haji berjalan seperti biasa. Suasana tetap meriah walaupun penyesuaian mesti dilakukan dengan normal baharu bagi mengawal pandemik Covid-19.

Cuma, menjelang raya pada petang Khamis lalu, takbir politik dari Sabah lebih kuat gemanya.

Bermula dengan khabar bekas ketua menteri Musa Aman memiliki 33 akuan sumpah menyokong pelantikannya mengetuai kerajaan baharu.

Kemudian dikelirukan pula dengan sesi kenyataan Ketua Menteri Shafie Apdal yang mendakwa masih memiliki majoriti di DUN Sabah.

Sabah mempunyai sejarah dan rekod lompat parti yang komplikated. Pada 10 hingga 11 Mei, 2018 pun, keadaan politik di Sabah selepas PRU14 turut berlarutan dengan mod tidak menentu.

Selepas PRU 14, Umno Sabah memiliki 17 kerusi daripada 60 kerusi yang dipertandingkan. Musa segera mendakwa mempunyai cukup kerusi untuk mengetuai kerajaan negeri dengan sokongan parti-parti kecil yang lain.

Akhirnya, drama politik Sabah yang bermula pada 10 Mei, 2018, tiba-tiba beralih plot dan menjadi dramatik.

Sekitar 48 jam selepas keputusan PRU 14 diumumkan pada 9 Mei – suasana di Kota Kinabalu sama hangat dengan suhu politik di Putrajaya.

Akhirnya, pada 12 Mei, Shafie muncul dan memintas pada selekoh akhir. Adun Semporna ini berjaya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri apabila enam Adun Umno berpaling tadah. Seterusnya melompat pokok dan menyokong parti Warisan yang memiliki 21 kerusi.

Shafie mengukuhkan kedudukan apabila Adun PKR dan DAP Sabah turut menyokong Warisan.

Shafie memiliki 35 kerusi ketika mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada 12 Mei, 2018.

Politik aneh lompat pokok

“Negeri kamu memiliki budaya lompat pokok,” sindir saya.

Kawan baik di Sabah membalas WhatsApp dengan menulis: “Mereka belajar dari orang Malaya. Bukankah politik melompat pokok bermula di sana?”

Kami sama-sama membalas hantaran dengan emoji senyuman dan ketawa; tanda menikmati ketajaman saling bertikam sindiran dalam WhatsApp.

Krisis politik di Sabah muncul 24 jam selepas media sosial dihangatkan dengan keputusan Mahkamah Tinggi terhadap mantan perdana menteri Najib Razak pada 28 Mei.

Najib dihukum penjara keseluruhan 72 tahun dan denda RM210 juta apabila disabitkan bersalah terhadap tujuh dakwaan berkaitan kes SRC.

Kes Najib menenggelamkan berita kesibukan sejuta warga kota yang dijangka pulang bercuti raya.

Berita 500,000 kenderaan yang dijangka memenuhi lebuh raya ke Pantai Timur, Utara dan Selatan Semenanjung hilang dari radar media massa dan media sosial.

“Sabah paling suka beraya nampaknya,” sindir saya dalam WhatsApp kepada seorang lagi rakan baik di Sabah.

Dia juga tidak mahu mengalah: “Aku rasa mahu muntah sudah dengan krisis politik yang berjangkit ini. Tapi, kamu semua di Kuala Lumpur sudah pasti termuntah lebih awal.”

Sindiran penulis terkenal Sabah ini terasa tajam sekali. Saya ketawa berdekah-dekah membacanya.

Tulisnya lagi: “Kuala Lumpur juga bakal ditimpa gempa. Politik kamu orang juga sudah di tahap retak menanti belah. Hati-hati menyindir kerana di tempat kamu orang politiknya juga sama perangai.”

Sehari sebelum Aidiladha dan Asar sudah berat ke petang hari, kami semua mengakhiri perbualan WhatsApp.

Saling mengucapkan selamat hari raya kerana sebentar lagi akan datang Maghrib. Masa untuk mula bertakbir dan bertahmid.

Politik di negara ini tidak pernah mengenal hari. Politik Malaysia ialah perayaan setiap hari. Jadi, elok berhenti sebentar berdebat soal budaya politik lompat pokok. Elok kita fokus meraikan sambutan Raya Haji.

Bertakbir dan bertahmid serta mendoakan kerahmatan kepada jemaah haji di Tanah Suci dan mereka yang melaksanakan ibadah korban.

Politik kita jangan dirisaukan; perayaannya meriah setiap hari. Maka, bukan aneh apabila setiap hari juga ada ahli politik yang menjadi mangsa untuk dikorbankan. – 2 Ogos, 2020.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen