Kes Covid-19 melonjak, Okinawa diisytihar darurat


Sebanyak 71 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Okinawa semalam. – Gambar EPA, 1 Ogos, 2020.

OKINAWA di Jepun diisytiharkan darurat dan penduduk diarahkan duduk di rumah selama 2 minggu susulan kes Covid-19 naik mendadak di destinasi pelancongan popular itu.

Gabenor Denny Tamaki semalam mengarahkan penduduk tidak keluar rumah jika tiada urusan penting ekoran kes harian meningkat, kebanyakannnya dikesan di pengkalan tentera AS.

“Perintah darurat sehingga 15 Ogos berikutan kes jangkitan naik mendadak,” Tamaki memberitahu pemberita, sambil menambah hospital juga sukar menampung jumlah pesakit yang ramai.

Sebanyak 71 kes baharu Covid-19 dilaporkan di Okinawa semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 395 kes.

Menurut pihak berkuasa, 248 kes dikesan di pengkalan tentera AS, di mana terdapat sekitar 20,000 anggota tentera AS di Okinawa.

Tokyo sebelum ini mengarahkan restoran, bar dan pusat karaoke ditutup jam 10 malam mulai 3 hingga 31 Ogos, selepas kes harian mencatatkan peningkatan.

Gabenor Tokyo Yuriko Koike berkata perintah darurat akan dikeluarkan sekiranya kes terus melonjak.

Sehingga kini Jepun mencatatkan sekitar 35,000 kes dan lebih 1,000 kematian sejak kes Covid-19 mula dikesan di negara itu pada Januari.

Kes naik mendadak sejak kerajaan menarik balik perintah darurat di seluruh negara pada Mei lalu. – AFP, 1 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen