Tolak Perikatan, Umno susahkan Muhyiddin, kata penganalisis


Kamles Kumar

Umno susahkan usaha Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan pentadbiran yang stabil apabila menolak tawaran perdana menteri sertai gabungan rasmi PN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

UMNO menyusahkan usaha Muhyiddin Yassin untuk mewujudkan pentadbiran yang stabil apabila menolak tawaran perdana menteri untuk menyertai gabungan rasmi Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik.

Dengan memberi tumpuan kepada kerjasama sedia ada dengan PAS di bawah payung Muafakat Nasional (MN), Umno secara tidak langsung memberitahu Muhyiddin bahawa parti itu mahu menentukan hala tuju hubungan kerjasama mereka, kata penganalisis kepada The Malaysian Insight.

Mereka berpendapat Umno berhasrat mahu kembali jadi parti yang dominan dalam kerajaan, kedudukan yang dinikmatinya sejak Merdeka tetapi terlucut selepas kalah pilihan raya umum pada Mei 2018.

“Apabila Zahid mengumumkan Umno menarik diri daripada PN, ia hanya mengesahkan Umno tidak akan berpuas hati menjadi cuma satu entiti kepada PN.

“Dia mahukan, seperti sebelum ini, Umno sebagai kuasa besar dalam PN,” kata Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar, pensyarah politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata partinya tidak akan menyertai PN tetapi wakil rakyat Parlimen dan negeri parti itu akan terus menyokong kerajaan di Putrajaya dan negeri.

Umno sebaliknya mahu memperkukuhkan kerjasama politik dengan PAS dalam MN dan komponen Barisan Nasional (BN), kata Zahid.

Zahid juga mendedahkan hasrat Muhyiddin mahu Bersatu menyertai MN untuk bersama Umno dan PAS.

“Dia juga cuba meletakkan Bersatu dalam keadaan meminta-minta untuk menjadi ahli dalam MN yang dibina (oleh Umno) bersama PAS,” tambah Tunku Mohar.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof bagaimanapun dipetik oleh media semalam menjelaskan bukan Bersatu yang memohon untuk menyertai MN tetapi parti itu dipelawa.

Umno umum keputusan tidak sertai PN selepas bekas presidennya Najib Razak disabitkan kesalahan atas tujuh pertuduhan melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

 

Umno mengumumkan keputusan tidak menyertai PN selepas bekas presidennya Najib Razak disabitkan kesalahan atas tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, mengubah wang haram dan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bila Zahid berkias tentang kejujuran dan keikhlasan diketepikan tidak lama selepas Najib dihukum mahkamah, dia mungkin membayangkan seolah-olah ada satu bentuk persefahaman bahawa kes itu tidak akan membawa kepada hukuman sedemikian,” kata Tunku Mohar.

Melayu bersama Umno atau Bersatu?

Penganalisis politik juga berkata Muhyiddin masih boleh mendapat pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu berbanding Umno.

Tidak seperti Umno yang pemimpinnya terpalit pertuduhan jenayah rasuah di mahkamah, Muhyiddin boleh mencitrakan dirinya dan Bersatu sebagai komited kepada kedaulatan undang-undang dan tadbir urus yang baik.

Pengkaji budaya politik Melayu Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya merasakan Zahid tentunya bimbang dengan kes mahkamahnya sendiri selepas melihat keputusan kes Najib.

“Beliau umum Umno tidak bersama PN tetapi sokong kerajaan di persekutuan dan negeri buat masa ini. Ini memberikan mesej kepada Muhyiddin untuk melakukan sesuatu sebelum Umno mengambil langkah yang drastik.

“Jika mereka menarik balik sokongan, Muhyiddin tiada pilihan selain membubarkan Parlimen,” kata Awang Azman kepada The Malaysian Insight.

Zahid berdepan 47 pertuduhan jenayah mengubah wang haram melibatkan jutaan ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Kes terhadap Najib, Zahid dan beberapa ahli Parlimen Umno yang lain dibawa ke mahkamah selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk menggantikan kerajaan BN.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu mahu memperkukuhkan kerjasama politik dengan PAS dalam MN dan komponen BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

Pada hujung Februari lalu, Muhyiddin, yang ketika itu sebahagian daripada PH, menarik sokongan kepada gabungan itu. Beliau dan kira-kira 30 ahli Parlimen dari Bersatu dan bekas PKR kemudian membentuk kerajaan baharu bersama Umno dan komponen BN, PAS, dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Kenyataan Zahid semalam menjadikan usaha mendaftarkan PN sebagai gabungan rasmi sia-sia, kata Pengarah Eksekutif badan penyelidik Merdeka Centre Ibrahim Suffian.

“Untuk apa daftar PN kalau tidak ada parti yang hendak menyertainya? Sama macam buat majlis tetapi mereka yang dijemput tidak datang.

“Ini meningkatkan lagi ketidakstabilan gabungan ini. Ini juga berkata kerjasama mereka hanya setakat pilihan raya, bila-bila masa pun ia diadakan,” katanya.

Ibrahim berkata keputusan Umno akan melemahkan kedudukan Muhyiddin sebagai perdana menteri serta untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Ini akan melemahkan kedudukan Muhyiddin dalam rundingan pengagihan kerusi serta untuk menuju ke pilihan raya tanpa gabungan,” katanya.

Lengah

Muhyiddin dan Bersatu kini hampir tiada pilihan selain menyertai MN atau bertanding sendiri dalam pilihan raya umum akan datang, kata penganalisis.

Awang Azman percaya Umno dan PAS akan sengaja melengahkan penyertaan Bersatu dalam MN kerana ia akan menjejaskan kerusi yang boleh mereka tandingi.

“Muhyiddin cuba menjadikan PN sebagai entiti yang lebih besar berbanding MN tetapi itu gagal. Umno dan PAS tentu akan melengahkan penyertaan Bersatu dalam MN.

“Hakikatnya mereka tidak akan dan tidak mahu berkongsi kerusi dengan Bersatu,” katanya.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pula berkata kalaupun Muhyiddin setuju menyertai MN, Umno dan PAS akan menyulitkan keadaan untuk Bersatu.

“Kalau mahu masuk, Bersatu kena ikut syarat Umno dan PAS. Kena setuju perkara tertentu. Umno masih mahu jadi dominan dalam apa juga bentuk,” katanya.

Bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali kini tidak berparti, kata penganalisis dan dalam kemelut politik sekarang, beliau tidak dapat ke mana-mana. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

Sampai PRU15

Penganalisis politik Wong Chin Huat juga berkata kerjasama dengan Umno hanya akan bertahan sehingga pilihan raya akan datang.

“Umno tidak akan jatuh kerajaan tetapi tidak akan ada kerjasama dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Bagaimanapun sekiranya Muhyiddin dapat mengatasi cabaran ini, kedudukannya akan kukuh sebagai pemimpin tidak bertolak ansur dengan integriti parti.

“Tujuan Bersatu ditubuhkan sama seperti Umno iaitu mempertahankan nasionalisme Melayu, dan bersih,” katanya.

Lagi Umno cuba menekan Muhyiddin terkait dengan kes mahkamah terhadap pemimpin Umno yang sedang berjalan, selagi itulah imej perdana menteri akan bertambah cemerlang, tambahnya.

“Walaupun membentuk kerajaan bersama Umno, Muhyiddin tidak bertolak ansur. Kerajaan tidak terlibat dengan badan kehakiman,” jelas Wong.

Azmin rugi

Yang paling rugi dalam kemelut ini ialah bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang kini tidak berparti, kata Awang Azman.

Semasa kemelut politik pada hujung Februari lalu, Azmin dipecat dari parti bersama naib presiden Zuraida Kamaruddin, sementara 10 ahli Parlimen PKR keluar parti untuk menyokong mereka berpakat dengan Muhyiddin.

“Kumpulan Azmin sekarang terperangkap. Azmin tidak ke mana-mana. Ini penghujung karier politiknya. Mereka tersangkut,” tambahnya. – 31 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen