Sidang Parlimen 18 Mei menyalahi undang-undang, kata peguam 


Sidang Parlimen pada 18 Mei yang berlangsung selama setengah hari itu hanya melibatkan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong tanpa perdebatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2020.

SESI Ketiga sidang Parlimen ke-14 pada 18 Mei, yang berlangsung selama setengah hari dan hanya melibatkan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong tanpa perdebatan, adalah tidak mengikut perlembagaan dan menyalahi undang-undang, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur diberitahu hari ini.

Bastian Vendargon, yang mewakili peguam R. Kengadharan dan aktivis sosial D. Arumugam dalam saman mereka terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin serta bekas Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, berhujah bahawa kerajaan telah menggunakan kuasanya untuk tujuan yang tidak wajar iaitu bagi menghalang Parlimen menjalankan tugas-tugas perlembagaannya.

“Dengan melarang ahli (Parlimen) melakukan apa-apa selain duduk diam sementara Yang di-Pertuan Agong menyampaikan titah ucapan baginda, tujuan sebenar agenda kerajaan adalah jelas iaitu cuba untuk meletakkan kawalan sepenuhnya dan tidak sah ke atas Parlimen.

“Ini bukan sahaja tidak berperlembagaan malah menyalahi undang-undang kerana ia merupakan pelaksanaan kuasa yang diberikan secara tidak wajar,” katanya peguam itu sambil menambah bahawa alasan sidang sehari itu diadakan berikutan pandemik Covid-19 adalah tidak munasabah kerana badan perundangan di United Kingdom, Singapura dan Kanada misalnya, telah bersidang untuk meluluskan undang-undang susulan penularan Covid-19.

Saman itu, yang difailkan pada 15 Mei, memohon satu deklarasi bahawa sidang sehari tersebut adalah tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan pula berhujah bahawa perkara mengenai kalendar dan Aturan Mesyuarat adalah berkaitan dengan prosiding Dewan Rakyat serta kebal daripada campur tangan kehakiman berdasarkan Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, beliau berkata mahkamah harus menolak permohonan plaintif untuk mengguna pakai kuasa kehakimannya ke atas prosiding Dewan Rakyat.

“Dalam apa keadaan pun, aduan mereka (plaintif) tidak mempunyai merit kerana pindaan terhadap kalendar dan Aturan Mesyuarat adalah mematuhi peruntukan Peraturan Mesyuarat. Meskipun plaintif mempunyai pandangan berbeza, ketidakpatuhan terhadap Perintah Mesyuarat itu hanyalah salah aturan.

“Atas sebab-sebab ini, kami memohon agar permohonan plaintif ditolak dengan kos,” kata Suzana yang dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy.

Hakim Mahkamah Tinggi Ahmad Kamal Md Shahid kemudian menetapkan 3 September untuk keputusan.

Mengikut saman itu, plaintif memohon satu deklarasi bahawa sidang Parlimen pada 18 Mei adalah batal dan tidak sah kerana ia hanya mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, oleh itu bercanggah dengan Perkara 55(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ia mendakwa sidang pertama itu adalah sekadar wayang kerana tidak ada acara penting lain yang berlangsung seperti dinyatakan di bawah Peraturan Mesyuarat 14 Dewan Rakyat.

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, dalam afidavit yang difailkan bagi pihak Muhyiddin dan Mohamad Ariff, berkata sidang Parlimen pada 18 Mei adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Menurut Nizam Mydin, permohonan kedua-dua plaintif tidak mempunyai merit kerana kesahihan mana-mana prosiding tidak boleh dicabar dalam mana-mana mahkamah seperti yang termaktub di bawah Perkara 63 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Pada 13 Mei, Mohamad Ariff dalam satu kenyataan menyebut bahawa beliau telah menerima surat pemberitahuan yang ditandatangani Perdana Menteri sebagai Ketua Majlis menyatakan bahawa kerajaan telah memutuskan agenda bagi Mesyuarat Pertama Sesi Ketiga Parlimen ke-14, yang akan berlangsung selama sehari, telah dipinda untuk memberi fokus hanya kepada Titah Ucapan Diraja.

Beliau berkata ini susulan fakta bahawa pandemik Covid-19 dalam negara belum berakhir sepenuhnya. – Bernama, 30 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen