Sistem pengawasan beri amaran penularan Covid-19 dalam komuniti, kata pakar


Ragananthini Vethasalam

Jumlah jangkitan tempatan perlu diberi perhatian serius bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Julai, 2020.

MALAYSIA memerlukan sistem pengawasan wabak virus yang dapat memberi amaran kepada pihak berkuasa mengenai penularan Covid-19 dalam komuniti, kata ahli epidemiologi Prof Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud.

Beliau berkata faktor penyumbang kepada peningkatan kes koronavirus baru-baru ini disebabkan oleh ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan juga kes import.

Bagaimanapun jangkitan tempatan adalah salah satu lagi penyebab kebimbangan dan mesti diberi perhatian serius.

“Kes import dan ketidakpatuhanan SOP adalah alasan utama tetapi hakikatnya kita tidak agresif mencari kes komuniti yang menjadikan kemungkinan berlakunya lonjakan.

“Sistem pengawasan dan sistem amaran yang lebih maju perlu ada,” katanya.

Mengulas lebih lanjut mengenai sistem pengawasan beliau berkata Kementerian Kesihatan sudah membina sistem yang dipanggil E-COVID bagi mengumpulkan dan menyusun data terhadap semua pesakit Covid-19 di negara ini.

“Sistem ini harus diperluas ke semua klinik Kementerian Kesihatan untuk melakukan apa yang disebut sebagai pengawasan sindrom terhadap penyakit influenza (ILI) dan sindrom pernafasan akut teruk (SARI),” katanya.

Data ini perlu diserahkan secara langsung kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) di Putrajaya agar data tidak lebih dari 24 jam.

Sebarang peningkatan kes ILI atau SARI yang luar biasa pada hari itu untuk setiap daerah perlu memberi amaran agar sebuah pasukan akan segera berkumpul untuk menyiasat kejadian tidak biasa ini dan melakukan pemeriksaan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Oleh itu katanya kejadian seperti itu dapat digunakan sebagai ramalan untuk memberi amaran sebarang kes baharu Covid-19 yang akan berlaku kemudiannya dapat diatasi sebelum penularan dalam kalangan masyarakat secara besar-besaran.

Kali terakhir Malaysia melaporkan sifar jangkitan tempatan pada 8 Julai lalu.

Sejak itu lebih banyak jangkitan tempatan muncul dengan 25 kluster aktif di negara ini.

Baru-baru ini jumlah jangkitan meningkat dengan 39 kes baharu pada Selasa, jumlah tertinggi sejak 41 kes baharu diumumkan lebih sebulan lalu pada 15 Jun.

Dalam tempoh ini negara ini juga mencatatkan beberapa hari kes satu digit.

Sebilangan besar kes baharu adalah di Sarawak yang mempunyai 57 kes pada 28 Julai.

Dari jumlah tersebut 53 di Kuching yang sekali lagi memasuki zon merah apabila mencatatkan lebih 41 kes.

Bagaimanapun semalam jumlah jangkitan hanya menurun kepada dua – satu dikesan di Kuching sementara yang lain di Serian.

Dr Awang berkata penyebab berlakunya lonjakan di Sarawak adalah sama seperti di tempat lain di Malaysia.

“Kes-kes di Sarawak disebabkan oleh alasan yang sama seperti di tempat lain – kes import dan kurangnya pematuhan terhadap SOP,” katanya.

Sudah ada beberapa jangkitan komuniti yang belum hilang jadi ketidakpatuhan terhadap SOP akan mengakibatkan kes-kes ini kembali muncul.

Namun beliau berkata tidak ada alasan untuk mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) lain pada skala nasional buat masa ini.

Di seluruh negara 192 kes baharu dilaporkan dari 19 hingga 29 Julai.

Dr Awang berkata pihak berkuasa mengenakan PKP Dipertingkatkan berdasarkan lokasi di tempat-tempat yang berlaku kadar jangkitan tertinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberi amaran bahawa gelombang ketiga mungkin berlaku sekiranya masyarakat terus-menerus mengabaikan SOP.

Beliau menyamakan kluster baharu seperti bara yang membakar dan mereka yang mengabaikan peraturan sebagai bahan bakar yang menyalakan api.

“Jika kita mendapat 2,000-3,000 kes sehari, hospital akan sesak dalam seminggu. Kita mungkin tidak memiliki kemampuan untuk merawat pesakit,” jelasnya.

Namun, beliau berkata rantaian jangkitan dapat diputuskan lebih 60% dengan memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

Noor Hisham turut memberi amaran bahawa orang ramai boleh sekali lagi diperintahkan untuk tinggal di rumah jika pematuhan terhadap garis panduan tetap teruk. – 31 Julai, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen