Negara kini berdepan gelombang ke-2 jangkitan Covid-19, kata timbalan menteri


Mastura Malak Ragananthini Vethasalam

Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali berkata kerajaan bimbang dengan sikap sambil lewa rakyat berkaitan pematuhan SOP. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 27 Julai, 2020.

MALAYSIA ketika ini berdepan gelombang kedua jangkitan Covid-19, kata Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali hari ini.

“Apa yang kita lalui sejak Mac hingga hari ini sebenarnya adalah gelombang kedua,” katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Beliau ditanya perkara itu susulan terdapatnya kekeliruan sama ada Malaysia sudah memasuki gelombang kedua.

Malaysia mengalami gelombang pertama pada hujung Januari, yang melibatkan kumpulan pertama pesakit yang datang dari China, pusat koronavirus.

Menurut Noor Azmi, gelombang kedua bermula ketika kerajaan mengenakan perintah kawalan pergerakan (PKP) pada 18 Mac.

Negara kini dalam PKP pemulihan sehingga 31 Ogos.

Di bawah PKP, kerajaan berjaya melandaikan lengkungan Covid-19 bagi mengekang penyebaran virus.

Namun dalam beberapa minggu kebelakangan ini terdapat tanda virus kembali muncul di beberapa kawasan tertentu.

Timbalan menteri berkata, kerajaan bimbang dengan sikap sambil lewa rakyat berkaitan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

Sebagai contoh, Noor Azmi berkata terdapat banyak pengunjung tidak memberikan nama sebenar dan maklumat hubungan semasa mendaftar masuk ke satu-satu premis.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata semasa sidang media di Putrajaya hari ini mengenai kemungkinan gelombang ketiga jika masih berlaku keingkaran pematuhan SOP.

Sehubungan itu, beliau menekankan pentingnya pencegahan sebelum kes mengalami peningkatan yang ketara.

Pusat Kesiapsiagaan Dan Tindak Cepat Krisis menyaksikan 120 kes baru antara 19 Julai dan 25 Julai.

“Jika kita mendapat 2.000-3.000 kes sehari, hospital akan sesak dalam seminggu. Kita mungkin tidak memiliki kemampuan untuk merawat pesakit,” jelasnya.

Namun, beliau berkata rantaian jangkitan dapat diputuskan lebih 60% dengan memakai pelitup muka dan penjarakan sosial.

Noor Hisham juga mengingatkan terdapat kemungkinan besar PKP atau PKP bersyarat dikuatkuasakan semula jika pematuhan terhadap SOP tidak memuaskan. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Kamulah Timbalan Menteri Kesihatan Kerajaan PeNis yang tidak dapat memberikan contoh yang baik apabila kamu sendiri melanggar SOP !

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Masfaliza masmuda · Ulasan