3 kluster baharu dikesan


Aminah Farid

Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan tiga lagi kluster baharu hari ini iaitu, Kluster Elsa di Pahang, Kluster PUI Ramnad di Kuala Lumpur dan Kluster PUI Al Khobar di Selangor. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Julai, 2020.

TIGA kluster baharu Covid-19 dikesan melibatkan enam kes yang diumumkan hari ini.

Kes baharu melibatkan empat penduduk tempatan dan dua warga asing, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

Kluster pertama yang disebut sebagai kluster Elsa melibatkan dua warga asing dan seorang rakyat Malaysia yang dijangkiti oleh anak kapal yang melakukan perjalanan dari Filipina.

Pesakit menginap semalaman di sebuah hotel di Kuantan sebelum dihantar menjalani kuarantin di atas kapal. Dia disahkan positif seminggu kemudian.

Kluster kedua PUI Ramnad melibatkan dua ahli keluarga rakyat Malaysia yang diuji negative ketika mereka tiba di KLIA dari India.

Sementara itu kluster PUI AI Khobar terdiri daripada ahli keluarga pesakit kes indeks yang terbang ke negara itu dari Arab Saudi pada 10 Julai. 

Dr Noor Hisham berkata, ketiga-tiga kluster ini merupakan penularan di dalam negara yang berpunca daripada kes import.

Susulan itu, seramai 108 kontak rapat disaring dan daripada jumlah itu, tiga positif Covid-19 (dua bukan warganegara dan satu warganegara), 48 negatif, manakala 57 lagi, masih menunggu keputusan.

Sementara itu, bagi kes indeks Kluster PUI Ramnad (kes ke-8,817), beliau pulang ke Malaysia dari negara India pada 6 Julai lalu, namun saringan di pintu masuk negara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif.

Dr Noor Hisham memaklumkan beliau menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dan mula mengalami gejala ringan pada 19 Julai lalu.

“Saringan hari ke-13 HSO didapati positif dan beliau telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor. Seramai 18 kontak rapat disaring dan mereka terdiri daripada enam ahli keluarga dan 12 penumpang pesawat,” katanya dan menambah daripada jumlah itu, dua dikesan positif (iaitu kedua-dua adalah ahli keluarga kes indeks), 13 negatif, manakala tiga masih menunggu keputusan. 

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster PUI Al Khobar (kes ke-8,803) pulang ke Malaysia dari negara Arab Saudi pada 10 Julai lalu, namun saringan di pintu masuk negara KLIA, didapati negatif.

Kes indeks mula mengalami gejala pada 18 Julai dan dikesan positif Covid-19 pada 20 Julai lalu, katanya.

“Beliau (kes indeks) menjalani HSO bersama lima orang ahli keluarga di rumah keluarga mereka, di mana kelima-lima mereka ini juga telah pulang dari Arab Saudi bersama kes indeks, menaiki pesawat yang sama. Rumah keluarga tersebut turut didiami oleh dua orang ahli keluarga yang lain,” katanya. 

Hasil saringan ke atas tujuh orang ahli keluarga beliau mendapati satu dikesan positif manakala enam negatif.

Jelasnya, siasatan dan saringan kontak rapat sedang diteruskan, termasuk saringan penumpang lain pesawat yang dinaiki kes indeks kluster ini. – 24 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen