Ini bukan penamat, kata Najib selepas keputusan mahkamah


Alfian Z.M. Tahir

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika bercakap pada sidang media di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 28 Julai, 2020.

BEKAS perdana menteri Najib Razak yang dikenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana salah guna kuasa berkata, beliau berharap usahanya di perngkat rayuan akan berjaya.

“Sebab ini bukan penamat, sebab ada proses rayuan dan harapnya berjaya di (peringkat) itu, usaha mesti diteruskan.

“Untuk penyokong-penyokong saya, saya harap anda menaruh kepercayaan kepada saya dan takkan tinggalkan saya,” katanya pada sidang media di luar mahkamah hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata beliau dan pasukan peguam belanya akan sentiasa berharap untuk yang  lebih baik dan bersedia berdepan yang lebih buruk.

“Saya tidak berpuas hati dengan keputusan tetapi dalam sistem kita, Mahkamah Tinggi adalah peringkat permulaan. Kita ada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Najib turut mengulangi kenyataan bahawa beliau tidak tahu wang RM42 juta itu masuk ke dalan akaun bank miliknya.

Beliau memaklumkan bahawa beliau membuat satu lagi “sumpah laknat” di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk membuktikan beliau tidak bersalah.

“Ini sebabnya mengapa dalam pengakuan saya, saya menyatakan ini adalah kebenaran dan saya buat ‘sumpah laknat’ kedua di mahkamah,” tambahnya.

Najib didapati bersalah atas tujuh tuduhan melibatkan RM42 juta dana SRC International yang masuk ke akaun bank miliknya.

Tiga tuduhan adalah pengubahan wang haram, tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa.

Hari ini hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Hukuman berkenaan akan berjalan serentak. – 28 Julai, 2020.
 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen