Rakyat Malaysia kuarantin wajib perlu bayar kos RM2,100, kata menteri


Noel Achariam

Menteri Kanan Ismail Sabri menganggarkan kos setiap bagi setiap individu yang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari adalah sebanyak RM4,700. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Julai, 2020.

RAKYAT Malaysia yang pulang dari luar negara perlu membayar RM 2,100 bagi makanan dan penginapan sepanjang 14 hari tinggal di pusat kuarantin, kata Menteri Kanan Ismail Sabri.

Beliau menganggarkan kos setiap bagi setiap individu yang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari adalah sebanyak RM4,700.

“Bagi rakyat Malaysia mereka hanya perlu membayar maksimum RM2,100 bagi caj bilik hotel serta makan tiga kali sehari.

“Kerajaan pula menanggung baki kos RM2,600 termasuk kos pengangkutan dari pintu masuk sempadan ke stesen kuarantin, kos makan minum serta peralatan sut peralatan perlindungan diri (PPE) untuk petugas kesihatan, keselamatan dan sekretariat dan kos pembersihan di stesen kuarantin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu kerajaan mengumumkan rakyat Malaysia atau warga asing yang pulang dari luar negara dikehendaki menjalani kuanrantin wajib 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan, sama ada di institut latihan awam atau hotel.

Mereka ini juga perlu menanggung sepenuhnya kos kuarantin dan saringan Covid-19.

Tiada lagi tempoh kuarantin di rumah susulan banyak kes import, kata Ismail Sabri minggu lalu.

Sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 1,6331 individu telah pulang ke Malaysia melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan mereka ditempatkan di sembilan stesen kuarantin di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Johor.

Individu berkenaan tiba dari 22 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda dan Australia.

Ismail juga berkata polis menjalankan 1,776 pemeriksaan ke atas individu yang sedang menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing. 

Polis bersama petugas Kementerian Kesihatan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu terbabit bagi memastikan SOP. – 28 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen