Peguam belum dapat jumpa Rayhan


Kalidevi Mogan Kumarappa

C Selvaraja berkata, mereka cuba menghubungi Bukit Aman untuk berjumpa Md Rayhan Kabir pada Jumaat melalui afidavit yang diemel dari Bangladesh oleh ibu bapanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 27 Julai, 2020.

PEGUAM kepada lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang ditahan atas kenyataan disiarkan dalam sebuah dokumentari Al Jazeera belum berjumpa dengan anak guam mereka itu.

C Selvaraja berkata, mereka cuba menghubungi Bukit Aman untuk berjumpa Rayhan pada Jumaat sebaik dilantik melalui afidavit yang diemel dari Bangladesh oleh ibu bapanya.

“Namun, saya dimaklumkan dia di bawah tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan saya terus menghantar emel kepada JIM untuk berjumpa dengan anak guam saya.

“Namun mungkin sebab lambakan e-mel, mereka tidak perasan dengan permohonan kami dan disebabkan itu kami gagal berjumpa dengan Rayhan hari ini,” katanya.

Beliau yang hadir bersama seorang lagi peguam Sumitha Shaanthinni Kishna berkata surat asalnya sudah diambil oleh pegawai ketua pengarah dan berpeluang berbual dengan pegawai penyiasat.

“Pegawai penyiasat imigresen akan memaklumkan kepada kami dengan segera setelah mendapat kebenaran daripada ketua pengarah Imigresen untuk membenarkan kami berjumpa Rayhan.

“Jadi kami telah keluar dari pejabat ketua pengarah dengan surat akuan penerimaan permohonan.

“Kami sebagai peguam mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga Rayhan yang melantik kami untuk memaklumkan kepada mereka apakah keadaan anak mereka,” katanya.

Tiga wakil daripada Suruhanjaya Tinggi Bangladesh tiba di pejabat Imigresen Putrajaya petang ini untuk bertemu dengan Rayhan.

Menurut sumber imigresen pegawai suruhanjaya tinggi tersebut sudahpun dibenarkan berjumpa Rayhan.

Menurut kenyataan Jabatan Imigresen pada Sabtu, sehari selepas penahanan Rayhan, lelaki itu akan diusir keluar dan disenarai hitam daripada memasuki Malaysia untuk selama-lamanya.

Kenyataan Rayhan dalam laporan Al Jazeera itu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin, ketika negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wartawan Al Jazeera disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana didakwa menyiarkan berita fitnah, dan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan.

Stesen itu juga menurut kerajaan membuat penggambaran tanpa permit. – 27 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen