Yang degil PKP, sumbatkan ke penjara


Zainal Rashid Ahmad

WALAUPUN wujud peningkatan angka dua digit bagi kes jangkitan terbaharu pandemik Covid-19 di negara ini, peniaga kecil merayu agar kerajaan tidak mengambil tindakan drastik melaksanakan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh seperti pada 18 Mac lalu.

Peniaga kecil mendesak kerajaan mengutamakan tindakan hukuman penjara kepada pesalah sekiranya penguatkuasaan saman kompuan tidak berkesan.

Bagi peniaga, sekiranya PKP penuh dilaksanakan sekali lagi, ia hanya memudaratkan rakyat dan dan memburukan lagi keadaan ekonomi negara.

Selain itu, PKP penuh akan menyebabkan keadaan kewangan peniaga yang sedia tenat akan bertambah parah.

“Kami masih berhutang sewa selama tiga bulan kepada pemilik premis kerana tidak dapat berniaga ketika PKP pada 18 Mac dan sepanjang April dan Mei serta dua minggu pertama bulan Jun,” kata Saiful Hisham pengusaha premis gunting rambut di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.

Pada masa yang sama, Saiful menjelaskan, walaupun perniagaan dibenarkan bermula pada 10 Jun, keadaan di premis gunting rambut hanya mula “hidup” pada awal Julai lalu.

“Tiga minggu pertama kami hanya memperolehi antara tiga atau empat pelanggan sehari kerana kedai gunting rambut paling ditakuti dan dianggap premis mudah jangkitan,” katanya.

Selain kehilangan pendapatan selama tiga bulan, peniaga yang menyewa premis milik entiti bukan kerajaan tidak diberikan pengecualian dan diskaun sewaan.

“Kami berdepan dengan pemilik premis yang tidak memberikan sesen pun diskaun, sebaliknya tetap menuntut bayaran penuh walaupun kedai tidak beroperasi selama tiga bulan,” katanya.

Walaupun peniaga kecil berasa lega kerana kerajaan melaksanakan moratorium pinjaman selama enam bulan, namun mereka masih bimbang dikejar bayaran pinjaman pada Oktober nanti.

“Satu beban besar untuk pembayaran pinjaman bank apabila moratorium tamat ketika kami masih belum mencapai tahap 50% pendapatan bulanan setakat ini.

“Baki tunggakan sewa selama tiga pun masih tertunggak dan bayaran pinjaman bank akan menghantui kami pada Oktober,” kata Saiful.

Sebagai peniaga yang berusaha melaksanakan semua arahan kerajaan ketika beroperasi, Saiful menegaskan kecuaian beberapa kluster yang menyebabkan angka jangkitan meningkat.

Namun, ia tidak wajar dijadikan alasan untuk menghukum seluruh rakyat Malaysia.

“Orang yang diberi gelang tanda dalam kuarantin pun masih keluar merayau sana-sini tanda tidak takut kompaun setakat RM1,000,” katanya.

Secara tegas Saiful berkata, sekiranya kompaun RM1,000 tidak diendahkan, kerajaan wajar menimbangkan hukuman penjara bagi pesalah yang membahayakan nyawa orang lain dan pencetus kluster secara sengaja.

Keadaan ekonomi masih buruk

Selain peniaga, penganggur yang kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19 juga meminta kerajaan bertindak lebih keras terhadap mereka yang ingkar.

“Takkan sekali lagi nak balik ke PKP 18 Mac ketika ekonomi teruk macam sekarang,” kata Murugaya Perumal.

Murugaya ditamatkan khidmat dengan notis sebulan pada Mei lalu sebagai eksekutif pemasaran di kompleks pengurusan acara yang terkenal di Shah Alam.

“Hampir sejuta pengangguran dijangka pada hujung Julai, kalau laksana PKP penuh, ekonomi negara akan jahanam,” katanya.

Murugaya yang kini memandu e-hailing turut menjelaskan, suasana ekonomi yang tidak menentu akan bertambah kelam-kabut kalau kerajaan kembali melaksanakan PKP penuh.

“Saya kerja 12 hingga 14 jam sehari untuk dapat gaji bersih RM120 ke RM150 sekarang dan kalau ada PKP penuh, ini e-hailing pun mati,” katanya.

Murugaya turut mengungkit dengan penuh emosi mengenai kenyataan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

“PM sendiri cakap negara rugi RM2 bilion sehari akibat PKP penuh dan sekarang semua orang atas kena fikir secara logik dan tidak ambil langkah mudah,” katanya.

Sebagai bekas eksekutif selama 11 tahun dalam bidang pemasaran, Murugaya sedar bidang pekerjaannya paling lambat untuk pulih sekali pun selepas pasca Covid-19.

“Sekarang pengangguran sudah 5.3% pada Mei dengan lebih 800,000 orang, tetapi saya yakin angka sebenar sudah lebih sejuta.

“Jadi, kenapa mahu PKP penuh tanpa fikir cara lebih baik terutama kuat kuasa undang-undang hukuman lebih berat terhadap pesalah,” katanya.

Murugaya turut memberi amaran pada kerajaan, penguncupan ekonomi pada suku kedua dijangka boleh mencapai tahap dua digit sekiranya negara mengambil langkah pasif.

“Kabinet mesti tegas pada pesalah tegar dan jangan hukum rakyat hanya kerana angka jangkitan naik dua digit disebabkan sejumlah orang yang cuai,” tegasnya.

Pada bulan lalu, ahli ekonomi mengunjurkan Malaysia berkemungkinan mengalami penguncupan ekonomi antara 7.0% hingga 13.0% pada suku kedua (April-Jun) tahun ini.

Sebelum ini, kerajaan melancarkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pakej Jana Semula Ekonomi Negara Jangka Pendek (Penjana) bertujuan memulihkan semula aktiviti ekonomi.

Terdapat laporan menyebut lebih 100 ribu daripada 900 ribu syarikat sudah “gulung tikar” pada tiga bulan pertama PKP.

Kerajaan melancarkan pakej RM295 bilion bagi menyelamatkan 2.75 juta pekerjaan. Selain lebih 800,000 syarikat, termasuk perniagaan mikro dan PKS.

“PKP ala 18 Mac hanya melemahkan kita dan kerajaan tidak perlu langsung berfikir ke arah itu.

“Pilih ketegasan undang-undang sebab hanya sejumlah kecil yang degil dan perlu disumbat ke penjara,” kata Murugaya. – 26 Julai, 2020.
 

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen