2 kluster baharu dikesan di Johor dan Sarawak, kata KP Kesihatan


Aminah Farid

DUA kluster baharu Covid-19 dengan tiga pesakit dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata kluster pertama dikesan di Taman Bukit Tiram, Johor melibatkan dua pekerja asing di sebuah pusat ibadat.

Beliau berkata 10 kontak rapat telah dikenalpasti dan menunggu keputusan ujian saringan.

Kedua-dua pendatang asing di Taman Bukit Tiram menunjukkan simptom Covid-19 pada 15 Julai tetapi tidak mendapatkan rawatan segera di mana-mana pusat kesihatan.

Bagaimanapun beliau berkata mereka berdua disahkan positif apabila menjalani ujian saringan pada 24 Julai di sebuah fasiliti kerajaan.

Dr Noor Hisham berkata kluster sebuah syarikat pembinaan di Kuching Sarawak dikesan apabila satu kes positif direkodkan daripada ujian saringan ulangan terhadap kontak rapat kes ke-8,715.

Kemudian, 55 kontak rapat melibatkan lima rakan serumah dan 50 rakan sekerja telah menjalani saringan. Kesemua keputusan adalah negatif.

Usaha mengesan kes aktif kluster itu masih berjalan.

Punca jangkitan bagi kedua-dua kluster itu masih belum diketahui.

Sejak minggu lalu, peningkatan kes direkodkan dengan kemunculan beberapa kluster baharu.

Hospital Sentosa di Kuching paling banyak merekodkan kes baharu dan langkah pengurungan dilaksanakan semalam selepas lapan lagi stafnya dikesan dijangkiti Covid-19.

Kes baharu melibatkan staf hospital itu kini berjumlah 16 orang.

Kesemua kes dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak untuk pengasingan dan rawatan.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 23 kes baharu dengan 17 daripadanya merupakan kes penularan tempatan. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen