Kes Covid-19 meningkat, KKM kesan 2 kluster baharu


Aminah Farid

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 kini sebanyak 8,884 kes dengan 167 kes aktif. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 23 kes baharu jangkitan Covid-19 dan dua lagi kluster baharu masing-masing di Johor dan Sarawak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdulllah.

Dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham berkata daripada 23 kes baharu itu, enam merupakan kes import.

Katanya baki 17 kes merupakan kes penularan tempatan dengan melibatkan 10 warganegara dan tujuh lagi bukan warganegara.

Dr Noor Hisham berkata 10 kes penularan Covid-19 dalam negara melibatkan warga Malaysia merangkumi satu kes masing-masing daripada Kluster Warga Emas Kluang dan kes saringan tempat kerja di Johor, serta lapan lagi di Sarawak. 

Lapan kes di Sarawak melibatkan empat daripada Kluster Sentosa dan satu kes masing-masing direkodkan daripada Kluster kejuruteraan Kuching, syarikat pembinaan Kuching, saringan tempat kerja dan saringan pemantauan di pintu masuk lapangan terbang yang mana individu tersebut tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak, kata Noor Hisham. 

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes jangkitan Covid-19 kini sebanyak 8,884 kes dengan 167 kes aktif.

Beliau berkata dalam tempoh 24 jam lepas, 17 pesakit telah dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kes pulih sebanyak 8,594.

Angka kematian kekal 123 kes dengan tiada kematian baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Dr Noor Hisham berkata dua kluster baharu yang dikesan merupakan di Bukit Tiram, Johor dan tapak pembinaan di Kuching, Sarawak.

“Sehingga kini, hanya tiga kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan dua kes memerlukan bantuan pernafasan. Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini, justeru kes kematian Covid-19 di Malaysia  kekal sebanyak 123 kes,” katanya. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen