Kaji semula semua undang-undang lapuk


KERAJAAN perlu mengkaji semula semua undang-undang yang ada dalam Malaysia supaya relevan dan sesuai dengan peredaran zaman. 

Ini susulan kontroversi yang melibatkan ketetapan lesen untuk proses pengeluaran filem perlu mendapat kelulusan daripada pihak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). 

Seperti yang telah dimaklumkan, semua penerbit filem wajib memohon lesen pengeluaran filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) tanpa mengambil kira agensi arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran arus perdana. 

Ini selaras dengan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244). 

Merujuk kepada Seksyen 22 akta berkenaan, tiada seseorang boleh mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamerkan filem atau mana-mana gabungan aktiviti yang dinyatakan dalam Seksyen 21 (1) melainkan jika lesen dikeluarkan yang memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian. 

Kontroversi terhadap perkara isu ini timbul apabila rujukan dibuat di bawah Seksyen 2 yang mentafsirkan filem termasuk filem cerita, pendek, subjek ringkas, trailer, dokumentari, filem kecil iklan, dan apa-apa rakaman pada apa-apa jenis bahan termasuk pita video dan ceper video berupa arca bergerak sama ada disertai dengan bunyi atau tidak untuk dilihat orang ramai. 

Dengan kemunculan pelbagai jenis teknologi komunikasi dan media moden pada masa kini yang mengunakan kemudahan dalam talian seperti internet, ramai pihak mula mempersoalkan hak peribadi serta kebebasan mereka untuk membuat sesebuah filem, video atau gambar bergerak dan memaparkannya ke dalam internet. 

Peruntukan undang-undang ini telah dibuat hampir 40 tahun dahulu ketika kemudahan komunikasi dan media pada ketika itu amat terbatas. 

Adakah kita masih perlu mengekalkan peruntukan undang-undang lama ini? 

Pihak kerajaan perlu melihat semula segala jenis peruntukan undang-undang yang ada serta mengkaji dengan lebih teliti kesesuaiannya, sama ada masih sesuai untuk dilaksanakan ataupun tidak. 

Pada masa sama, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk mengkaji juga segala jenis undang-undang lapuk termasuk peruntukan undang-undang yang menjamin hak asasi dan kebebasan setiap individu seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk perkara berkaitan dengan kebebasan untuk bercakap atau pun bersuara. Seperti diketahui umum, kebebasan yang diberikan kepada setiap warganegara adalah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Bahagian II Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dengan jelas peruntukan mengenai kebebasan asasi setiap warganegara. 

Salah satu bentuk kebebasan asasi yang jelas dilindungi adalah kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan seperti yang jelas terkandung dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. 

Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri. 

Walaupun begitu setiap jenis kebebasan yang diberikan di dalam Perlembagaan Persekutuan ini bukanlah satu bentuk kebebasan yang bersifat mutlak. 

Pihak Parlimen boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui beberapa peruntukkan undang-undang jika mendapati sekatan tersebut perlu demi menjaga kepentingan keselamatan negara, hubungan baik dengan negara lain, menjaga ketenteraman awam, untuk mendukung sebarang prinsip moral serta bagi mengelakkan kebebasan yang telah diberikan disalahgunakan oleh mana-mana individu yang tidak bertanggungjawab.

Terdapat beberapa jenis peruntukkan undang-undang yang diwartakan dan digunakan sebagai sekatan terhadap aspek kebebasan ini. Ada juga peruntukan undang-undang yang telah digunakan semenjak sebelum merdeka lagi. 

Persoalan utamanya kini, adakah kesemua peruntukan yang ada ini masih relevan serta sesuai untuk digunakan lagi? 

Bagi menjawab persoalan ini, pihak kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam. 

Jawatankuasa khas berkenaan boleh terdiri daripada beberapa orang pakar khususnya yang berkaitan dengan aspek hak asasi manusia dalam negara, pihak pengamal undang-undang, ahli akademik, serta pihak badan bukan kerajaan.

Jawatankuasa khas terbabit boleh diterajui oleh pihak Jabatan Peguam Negara dan dipantau oleh peguam negara sendiri. – 25 Julai, 2020.

* Dr. Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen