Lebih 1,800 orang di bawah HSO tak jalani saringan kedua Covid-19, kata KP Kesihatan


Ragananthini Vethasalam

LEBIH 1,800 orang yang sudah selesai menjalani kuarantin di rumah di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) tidak mengambil ujian Covid-19 kali kedua, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata setakat ini seramai 31,674 orang ditempatkan di bawah HSO di mana 18,416 sudah selesai tempoh kuarantin 14 hari.

“Bagaimanapun dari jumlah ini (mereka yang selesai), 10% tidak menjalani pemeriksaan Covid-19 pada hari ke-13,” katanya kepada wartawan di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham kesal apabila analisis data terkini yang diperoleh melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan dari 7 Julai hingga 20 Julai lepas, 24.8 peratus daripada jumlah individu yang diletakkan di bawah Home Surveillance Order (HSO) tidak menggunakan fungsi Home Assessment Tool.

“Fungsi Home Assessment Tool ini merupakan satu ciri bagi individu menjalani penilaian kendiri yang perlu dilakukan setiap hari selama tempoh kuarantin di rumah iaitu selama 14 hari.

“Setakat ini, bilangan pengembara yang pulang dari luar negara iaitu Person Under Surveillance (pesakit di bawah pengawasan) yang dikehendaki menjalani HSO adalah seramai 31,674 orang dan jumlah yang sudah tamat tempoh kuarantin adalah 18,416 orang,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19, hari ini. 

Beliau berkata jika diperhatikan, kini lebih ramai masyarakat makan di restoran, membeli-belah di pasar raya serta kembali bekerja di pejabat dan analisis data melalui aplikasi MySejahtera menunjukkan jumlah pengguna berdaftar dengan aplikasi itu didapati terus meningkat dalam tempoh tiga minggu lepas. 

Bagaimanapun, jumlah daftar masuk di premis seperti kedai makan dan pasar raya sebaliknya didapati menunjukkan trend penurunan.

“Ini menunjukkan bahawa pematuhan terhadap SOP kian berkurangan. Pemilik premis-premis dan masyarakat umum diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan agar kita dapat sama-sama memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di dalam masyarakat.

“Masyarakat kini perlu memainkan peranan sosial yang lebih utama dalam memerangi pandemik Covid-19. Patuhilah SOP yang disediakan,” katanya dan turut mengingatkan masyarakat agar melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang aktiviti yang melanggar SOP.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia mencatat kes harian Covid-19 yang terendah semasa gelombang kedua pandemik COVID-19 tiga minggu lepas iaitu pada 1 Julai, dengan hanya satu kes dicatatkan.

Kes penularan tempatan mencapai angka sifar untuk beberapa hari tetapi kes baharu harian didapati kembali meningkat akhir-akhir ini dan ada kalanya mencapai dua angka.

Sejak 1 Julai, KKM melaporkan 15 kluster baharu jangkitan Covid-19.

Menyambut baik keputusan kerajaan mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di dalam pengangkutan awam dan tempat  awam yang sesak mulai 1 Ogos, Dr Noor Hisham mengulangi nasihat supaya orang ramai memakai alat itu dengan kaedah yang betul.

Jelasnya, untuk pelitup separuh muka bukan perubatan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan jenis fabrik atau kain dengan tiga lapisan iaitu lapisan paling dalam bersifat menyerap air, lapisan paling luar diperbuat daripada bahan bersifat menghindar penyerapan air dan lapisan tengah hidrofobik yang diperbuat daripada bahan bukan tenunan sintetik.

“Selain itu, pelitup separuh muka perlu dipakai dengan betul dan menutupi ruang hidung sehingga dagu,” katanya sambil memberi amaran, pemakaian tidak sempurna membawa risiko pencemaran atau jangkitan kepada pemakai. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen