Kes dokumentari Altantuya, tindakan terhadap Astro bermula 2016


Astro pada 2015 menyiarkan dokumentari Al Jazeera berkenaan pembunuhan kontroversi model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu. – Gambar fail AFP, 23 Julai, 2020.

PEJABAT Peguam Negara mengeluarkan arahan seawal 2016 untuk syarikat penyiar satelit Astro didakwa kerana menyiarkan dokumentari Al Jazeera berkenaan pembunuhan kontroversi model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2015.

Bagaimanapun, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengesyorkan untuk mengenakan kompaun terhadap Measat Broadcast Network Systems Bhd (Astro), bukannya mendakwa mereka di mahkamah.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata satu kertas siasatan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara pada Disember 2015, dan pada 5 Januari, 2016, SKMM diarahkan mendakwa Astro mengikut Seksyen 211 Akta SKMM.

“Pada 8 Januari 2016, SKMM mengemukakan cadangan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mempertimbangkan semula keputusan mendakwa, sebaliknya mencadangkan Measat Broadcast dikompaun,” katanya dalam satu kenyataan.

SKMM berkata cadangan itu dipersetujui dan SKMM diarahkan untuk menyediakan izin mengkompaun serta menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Kes ditaklimatkan semula kepada timbalan pendakwa raya pada 31 April, 2019 dan 4 Jun, 2020. Arahan mengkompaun dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 23 Jun 2020. Tawaran mengkompaun bertarikh 1 Julai, 2020 dikeluarkan oleh SKMM kepada Astro.

“Measat Broadcast mempunyai pilihan untuk menerima tawaran kompaun, mengemukakan rayuan atau menolak tawaran kompaun,” kata SKMM. – 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen