Colombia kenakan penjara seumur hidup terhadap perogol, pembunuh kanak-kanak


Presiden Colombia Ivan Duque berkata sudah tiba masanya kanak-kanak di negara itu dilindungi dengan undang-undang yang tegas.– Gambar EPA, 23 Julai, 2020.

PRESIDEN Colombia Ivan Duque menggubal perundangan dan menetapkan hukuman penjara seumur hidup terhadap penjenayah yang didapati bersalah merogol atau membunuh kanak-kanak. 

“Hari ini tiba masanya Colombia bertegas terhadap penjenayah ini yang cuba merosakkan anak-anak kita,” kata Duque. 

Secara purata, dua kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dibunuh setiap hari di Colombia.

Menurut pihak berkuasa forensik, lebih 22,000 kanak-kanak menjadi mangsa jenayah seksual pada 2019, manakala 708 maut akibat kekejaman itu. 

Kira-kira 6,500 remaja bawah umur diserang secara seksual antara Januari dan Mei, kata badan perundangan Medicina Legal. 

Hingga kini, hukuman maksimum penjara di Colombia adalah 60 tahun, kerana perlembagaan negara itu mengharamkan hukuman pengasingan, penjara seumur hidup dan penyitaan, walaupun klausa itu telah dipinda.

Penderaan kanak-kanak juga menjadi isu yang mencetuskan konflik antara kerajaan dengan puak berhaluan kiri. 

Pemimpin kanan Angkatan Bersenjata Revolusi Colombia (FARC), yang meletakkan senjata dan menandatangani perjanjian damai pada 2016, berdepan tuduhan merekrut dan melakukan keganasan seksual terhadap kanak-kanak di mahkamah yang ditubuhkan khas untuk membicarakan suspek yang dipercayai terlibat dengan jenayah berkenaan ketika konflik.

Angkatan tentera Colombia turut memecat 31 anggotanya yang terlibat dengan keganasan seksual sejak 2016, kebanyakannya melibatkan kanak-kanak orang asal. – AFP, 23 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen