Saya hilang jawatan PM apabila Bersatu keluar Pakatan, kata Dr Mahathir


Dr Mahathir Mohamad dalam blognya mengulangi keengganannya menjadi perdana menteri bagi kerajaan yang disertai Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Julai, 2020.

BERTERUSAN dipersalahkan kerana menjadi punca kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh, Dr Mahathir Mohamad berkata tindakannya mengundur diri sebagai perdana menteri pada Februari diambil kerana beliau sebenarnya sudah “hilang” jawatan itu apabila Bersatu meninggalkan gabungan.

“Sebenarnya apabila Bersatu meninggalkan PH, PH bukan lagi kerajaan. Ini bermaksud semua anggota Kabinet hilangan jawatan menteri, termasuk saya. Saya hilang jawatan sebagai perdana menteri. Meletakkan jawatan hanyalah formaliti,” tulisnya di blognya hari ini.

Sejak seminggu lalu di Dewan Rakyat menyaksikan ahli Parlimen berbalah mengenai punca kejatuhan PH, dengan ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) berkata ia disebabkan oleh pengunduran Dr Mahathir.

Pada Isnin, ketika Dr Mahathir membahaskan usul membuang Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof, beliau juga diingatkan oleh ahli Parlimen Umno yang speaker tidak perlu diganti jika pemimpian berusia 95 tahun itu tidak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri yang menyebabkan perubahan kerajaan.

Dr Mahathir dalam blognya mengulangi beliau enggan menjadi perdana menteri bagi kerajaan yang disertai Umno dan PAS.

“Ini (maknanya) saya akan bekerjasama dengan Umno dan Najib, orang yang saya kecam dan kalahkan pada PRU14. Saya sebenarnya akan menghidupkan semula Umno dan menjadikannya sebahagian daripada kerajaan.

“Saya akan mengkhianati orang yang menyokong saya dalam pilihan raya. Saya juga akan memungkiri janji saya kepada parti lain dalam gabungan PH.

“Saya tidak dapat menerima cadangan yang saya akan menjadi perdana menteri bagi gabungan ini. Oleh kerana Muhyiddin bersedia, saya menjauhkan diri daripada kumpulannya,” katanya, merujuk kepada keputusan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin untuk membawa parti keluar daripada PH.

Pada 24 Februari, Dr Mahathir mengumumkan beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 1 petang hari itu.

Kenyataan media Muhyiddin yang Bersatu keluar daripada PH dibuat tidak lama kemudian.

Dr Mahathir juga berkata dalam catatan blognya itu adalah idea bekas perdana menteri Najib Razak untuk menubuhkan kerajaan Melayu-Islam, bagi mengelakkan beliau dipenjarakan kerana tuduhan rasuah dihadapinya.

“Ketika Najib kalah pada PRU14, beliau tahu akan dipenjara kerana jenayah dilakukannya.

“Oleh itu, beliau segera mengusulkan kepada PAS untuk menubuhkan kerajaan Melayu Islam. Tetapi mereka tidak cukup untuk membentuk kerajaan. Beliau memerlukan lebih banyak sokongan orang Melayu,” kata Dr Mahathir, yang seterusnya membawa kepada “Langkah Sheraton” dan menyaksikan Bersatu meninggalkan PH untuk membentuk PN dengan parti lawan lain. – 17 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen