Kes Covid-19 di Afrika Selatan kini lepasi angka 300,000


Pekerja menggali kubur di tanah perkuburan Islam Westpark setelah pihak berkuasa kesihatan mengarahkan membuat persediaan susulan kemungkinan lonjakan bilangan kematian berkaitan Covid-19, di Johannesburg, Afrika Selatan. – Gambar EPA, 16 Julai, 2020.

KES koronavirus di Afrika Selatan mencecah lebih 300,000 pada Rabu, kata kementerian kesihatan, ketika negara yang paling teruk terjejas di benua itu diramal mengalami kemuncak jangkitan.

“Kami sudah melebihi 300,000 untuk mencapai jumlah kumulatif 311,049 kes Covid-19 yang disahkan di Afrika Selatan,” kata Menteri Kesihatan Zweli Mkhize dalam satu kenyataan.

Tambahan 107 kematian juga dilaporkan pada Rabu, menjadikan jumlah kematian kepada 4,453 orang.

Lebih 35% kes dicatatkan di wilayah Gauteng - pusat kewangan Afrika Selatan dan juga pusat wabak, dengan jumlah kematian tertinggi.

Presiden Cyril Ramaphosa minggu lalu memberi amaran yang “ribut koronavirus” yang dihadapi Afrika Selatan adalah “jauh lebih ganas dan lebih merosakkan berbanding yang pernah kita ketahui sebelum ini”.

Negara ini paling teruk dilanda di Afrika, disusuli Mesir dengan hanya kurang 85,000 kes disahkan dan 4,067 kematian setakat ini.

Angka kematian di Afrika Selatan masih rendah, di bawah 1.5% pada Rabu.

Lebih separuh pesakit Covid-19 di negara ini sudah pulih daripada virus tersebut.

“Kita kini sekarang berdepan peningkatan sebenar jangkitan,” kata Ramaphosa pada awal Rabu, dengan menegaskan tekanan yang semakin meningkat terhadap kemudahan kesihatan.

Presiden melaksanakan kembali perintah berkurung pada sebelah malam dan larangan penjualan alkohol yang kontroversi pada Ahad untuk mengurangkan tekanan di hospital.

Sekatan tersebut secara beransur-ansur ditarik selepas perintah berkurung selama tujuh minggu yang ketat.

“Ini memberi kita kesempatan untuk mempersiapkan, menyiapkan kemudahan kesihatan kita agar dapat menangani dan mengatasi peningkatan jangkitan,” kata Ramaphosa memberi jaminan.

“Kini jangkitan semakin meningkat kemudahan kesihatan kita…berdepan cabaran,” katanya, sambil menambah penjualan alkohol digantung untuk mengehadkan jumlah “pesakit yang ke hospital dengan insiden trauma”. – AFP, 16 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen