Soalan Tony Pua berhubung 1MDB, ahli Parlimen dibicara ditolak speaker Dewan


Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menerima surat daripada sekretariat Dewan Rakyat berhubung penolakan itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Julai, 2020.

DUA soalan yang diajukan Ahli Parlimen Damansara Tony Pua berhubung bekas perdana menteri Najib Razak dan ahli Parlimen Barisan Nasional yang dibicarakan kerana rasuah ditolak speaker Dewan Rakyat.

Pua berkata beliau dimaklumkan soalannya, yang dihantar untuk sidang Dewan Rakyat bermula hari ini, ditolak menerusi surat daripada sekretariat Dewan Rakyat bertarikh hari ini.

Soalan pertamanya adalah mengenai pendirian perdana menteri terhadap peguam negara dan kes perbicaraan 1MDB dan SRC International melibatkan Najib.

Soalan keduanya adalah mengenai pendirian kerajaan Perikatan Nasional terhadap enam ahli Parlimen yang didakwa kerana rasuah, terutamanya jika mereka didapati bersalah.

“Soalan ini tidak sepatutnya ditolak. Ia adalah peluang yang baik untuk (Perdana Menteri) Muhyiddin (Yassin) menghentikan persoalan berhubung komitmennya dalam membanteras rasuah,” kata ahli Parlimen DAP itu dalam satu kenyataan hari ini.

Soalan itu ditolak berdasarkan Peraturan Mesyuarat 23 mengenai Isi-isi Pertanyaan, sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikeluarkan dengan tujuan hendak mendapat buah fikiran atau hendak mendapat penyelesaian berkenaan dengan perkara undang-undang yang belum menjadi masalah atau kerana hendak mendapat jawab dalam perkara yang dimisal-misalkan sahaja.

Pua berkata soalannya penting kerana jawapan Muhyiddin akan menunjukkan sama ada beliau mempunyai tekad untuk membanteras rasuah.

Menurutnya, isu subjudis tidak terpakai kerana beliau bukan bertanya mengenai merit hujah undang-undang dalam kes Najib.

“Apa yang saya tanya adalah pendirian peguam negara. Amat membimbangkan bagi rakyat Malaysia bahawa perdana menteri enggan menjawab soalan ini.” – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen