Benarkan kami beroperasi, kata pemilik kelab hiburan


Noel Achariam

Pada Jumaat, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun lebih banyak sektor dibuka tetapi kelab malam dan pub masih belum dibenarkan beroperasi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2020.

PEMILIK kelab malam, bar dan pub meminta kerajaan untuk membenarkan mereka memulakan operasi selepas ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada pertengahan Mac.

Mereka bimbang lebih banyak premis akan ditutup jika perniagaan mereka terus ditutup kerana mereka sudah kerugian RM500 juta, dan kira-kira 30,000 bakal kehilangan kerja.

Mereka tertanya-tanya mengapa industri mereka tidak diberi kebenaran, ketika kira-kira 95% dari semua sektor lain telah diizinkan beroperasi.

Pengerusi jawatankuasa kelab malam, bar, pub Lembah Klang Benny Bedi berkata terdapat 4,500 pemilik yang menjalankan kira-kira 6,000 perniagaan itu di seluruh negara.

“Lebih 20% akan menutup perniagaan mereka manakala yang lain mengurangkan operasi.

“Hampir 50% pekerja kami atau kira-kira 30,000 akan kehilangan kerja,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pada Jumaat, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun lebih banyak sektor dibuka tetapi kelab malam dan pub masih belum dibenarkan beroperasi.

Benny berkata mereka berharap kerajaan boleh membenarkan mereka untuk kembali memulihkan industri itu.

“Industri bir menyumbang berbilion ringgit dalam bentuk cukai. Kerajaan akan hilang pendapatan ini.”

Jawatankuasa itu berkata mereka menganggarkan bahawa pengendali akan rugi sehingga RM500 juta sejak PKP hingga ke hari ini.

Dakwa mereka kerugian ini boleh mencecah RM1.8 bilion jika perniagaan mereka terus ditutup sehingga Disember.

Benny berkata perniagaan hiburan mereka turut menyumbang kepada industri pelancongan.

“Industri ini bukan hanya untuk rakyat tempatan tetapi ramai pelancong akan datang ke sini.”

Beliau berkata pada minggu lalu jawatankuasa itu menghantar memorandum kepada perdana menteri dan semua agensi yang berkaitan dengan isu itu.

Benny berkata jawatankuasa itu juga tampil dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang disarankan kerajaan, untuk dipertimbangkan kerajaan bagi membuka semula perniagaan mereka.

“SOP ini mengambil kira keperluan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara selain beberapa syarat tambahan.”

Belau berkata jika ada premis yang gagal mematuhi SOP itu, maka kerajaan boleh mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“SOP ini dihasilkan untuk membolehkan pub, kelab malam dan bar meneruskan perniagaan dalam norma baharu.” – 13 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen