Datuk bandar Seoul ditemui mati selepas dakwaan gangguan seksual


Datuk Bandar Seoul, Park Won-soon, ditemui maut di kawasan pergunungan selepas dilaporkan hilang oleh anaknya. – Gambar EPA, 10 Julai, 2020.

DATUK Bandar Seoul, Park Won-soon, 64, yang dilihat mempunyai potensi sebagai calon presiden Korea Selatan, ditemui mati pada Jumaat, kata polis. Belliau berusia 64 tahun.

Pada Rabu, seorang bekas pekerja Bandaraya Seoul mengemukakan aduan polis terhadapnya, yang didakwa melibatkan gangguan seksual.

Menurut polis, mayat Park ditemui di sebuah gunung di utara Seoul, selepas pencarian oleh ratusan pegawai.

Anggota kecemasan membawa keluar mayatnya pada awal pagi, kata wartawan AFP yang berada di lokasi, sebelum dibawa ke hospital.

Polis berkata tiada nota bunuh diri dijumpai di tempat kejadian, tetapi agensi berita Yonhap melaporkan beliau “dianggap membunuh diri”.

Jika Park terbukti membunuh diri, beliau akan menjadi ahli politik Korea Selatan paling berprofil tinggi sejak bekas presiden Roh Moo-hyun, yang terjun dari tebing pada 2009 selepas disoal siasat berhubung tuduhan rasuah yang melibatkan ahli keluarganya.

Anak perempuan Park melaporkan kehilangannya pada petang Khamis, berkata ayahnya tidak dapat dihubungi selama beberapa jam, kata polis.

Beliau meninggalkan pesanan yang berbunyi seolah-olah “kata-kata terakhir” dan telefonnya dimatikan, katanya kepada polis.

Beliau sering disebut sebagai calon yang berpotensi menggantikan Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, dan tidak menafikan matlamat politiknya itu ketika ditanya AFP pada awal tahun ini.

Park mempunyai latar belakang serupa dengan Moon sebagai aktivis pelajar pada zaman pemerintahan diktator tentera Korea Selatan dan kemudian menjadi peguam hak asasi manusia.

Beliau dibuang dari Universiti Nasional Seoul pada 1975, hampir sebulan selepas memasuki pusat pengajian berprestij itu, kerana mengambil bahagian dalam demonstrasi menentang presiden ketika itu, Park Chung-hee, dan dipenjara selama empat bulan. – AFP, 10 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen