Peguam kanan siasatan Teoh Beng Hock dilantik peguam cara negara


The Malaysian Insight

Abdul Razak Musa menggantikan Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek berkuatkuasa 14 Julai ini. – Gambar Twitter, 9 Julai, 2020.

ABDUL Razak Musa, peguam kanan persekutuan yang mencetus kontroversi dalam siasatan kematian Teoh Beng Hock sedekad lalu dilantik sebagai peguam cara negara berkuatkuasa 14 Julai ini.

Surat pelantikan beliau bertarikh 8 Julai yang dilihat The Malaysian Insight, ditandatangani Peguam Negara Idrus Harun.

Razak menggantikan Peguam Cara Negara Engku Nor Faizah Engku Atek. Laman web Pejabat Peguam Negara menyatakan Engku Nor berusia 60 tahun bulan ini.

Sebelum ini Razak merupakan pengerusi Lembaga Pencegahan Jenayah dan Keganasan di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Beliau juga peguam kanan bagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam inkues kematian Teoh, pembantu politik kepada seorang exco Selangor. Teoh ditemui mati di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai 2009.

Mendiang Teoh adalah saksi dalam siasatan penyelewengan dana kerajaan Selangor. Beliau disoal siasat SPRM di tingkat 14 bangunan Plaza Masalam sehari sebelum mayatnya ditemui di tingkat 5.

Semasa inkues, salah seorang saksi iaitu pakar patologi forensik terkemuka Thailand Dr Pornthip Rojanasunand berpendapat Teoh tidak membunuh diri, tetapi dicekik sebelum jatuh bangunan.

Razak mempersoalkan pendapat Dr Pornthip itu, bertanya adakah Teoh mencekik dirinya sendiri menggunakan tali leher, sambil melakonkan aksi demikian sehingga mengundang gelak ketawa hadirin dalam mahkamah.

Beliau juga hampir dikenakan tindakan menghina mahkamah kerana mempersenda ketidakupayaan fizikal mendiang peguam Karpal Singh semasa inkues.

Razak dilaporkan ketika itu berkata: “Saya boleh duduk tetapi kamu tidak boleh berdiri” kepada Karpal yang berkerusi roda.

Susulan itu, berlaku pertikaman lidah antara anak mendiang Karpal, Gobind Singh Deo yang ketika itu peguam pemerhati keluarga Teoh. Gobind mendesak mahkamah mengeluarkan perintah menghina kepada Razak.

Razak juga bertindak sebagai timbalan pendakwa raya dalam perbicaraan kes bunuh timbalan pendakwa raya Kevin Morais di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2016. – 9 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen