Polisi basmi kemiskinan Malaysia tidak bersasar, kata bekas wakil PBB


Ragananthini Vethasalam

Bekas pelapor khas PBB Philip Alston berkata hasil pemantauan mendapati dasar Putrajaya adalah bersifat umum, dan tidak bersasar.– Gambar EPA, 7 Julai, 2020.

POLISI basmi kemiskinan harus berdasarkan kepada fokus khusus dan mencerminkan realiti sebenar, kata bekas pelapor khas PBB berhubung kemiskinan tegar dan hak asasi manusia Philip Alston.

Alston, yang menulis laporan untuk PBB mengenai kemiskinan Malaysia daripada lawatan 11 hari di sini tahun lalu, berkata beliau hasil pemantauan mendapati dasar Putrajaya adalah bersifat umum, dan tidak bersasar.

“Ketika saya berada di Malaysia, saya (bertanya) mengenai cabaran utama berkaitan perumahan, makanan, keadaan wanita, dan sebagainya.“Jawapannya tiada kemiskinan dan oleh itu kami tidak perlu menangani isu tertentu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam wawancara menerusi Skype sempena penerbitan laporan PBB ditulisnya semalam.

“(Dengan) polisi umum, masalahnya adalah orang miskin tidak pernah mendapat keuntungan daripada dasar umum.

“Dasar umum ditujukan kepada kelas menengah dan orang kaya dan melainkan jika anda mempunyai fokus khusus, anda (tidak sepatutnya) membuat polisi tersebut.”

Menjadikan rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah sebagai contoh, Alston berkata masalah berkaitan perumahan awam merangkumi keadaan hidup yang buruk dan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bantuan.

Hanya akan ada sedikit progres dalam memastikan perumahan lebih baik bagi golongan miskin kecuali jika kerajaan membuat polisi berdasarkan “statistik dunia sebenar”, kata Alston yang tidak setuju dengan Putrajaya berhubung kadar kemiskinan negara sebanyak 0.4%.

Walaupun kemiskinan sering dikaitkan dengan kawasan luar bandar, Alston berkata aktiviti dapur jalanan di Kuala Lumpur dan sekitarnya juga mencerminkan keadaan kemiskinan bandar di negara ini.

“Bahkan di KL terdapat dapur jalanan setiap malam yang merupakan petunjuk kemiskinan sebenar kerana tiada yang ke dapur jalanan melainkan mereka tidak mempunyai alternatif lain.

“Sekiranya anda berbaris di dapur jalanan setiap malam, anda berdepan kesulitan serius dan menyerahkannya kepada agensi sukarela dan berpura-pura angka (kemiskinan) tidak setinggi yang dikatakan agensi tersebut, tindakan itu hanyalah menafikan kenyataan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Ahli politik perlu keluar pada waktu malam di KL dan pergi ke kawasan ini dan melihat orang yang berbaris dan bercakap dengan mereka serta memahami keadaan mereka,” tambahnya.

Alston berkata Malaysia ketika di bawah kerajaan Pakatan Harapan dilihat menyemak pelbagai pilihan polisi untuk mengatasi kemiskinan.

Namun, beliau menggambarkan langkah kerajaan ketika ini untuk mempertahankan kadar kemiskinan 0.4% sebagai “perkembangan yang menyedihkan”.

Beliau berkata tiada negara di dunia yang memiliki tingkat kemiskinan yang rendah, dan Malaysia harus membuat semakan kadar kemiskinannya untuk menunjukkan gambaran lebih inklusif mengenai kelompok terpinggir.

“Bukannya Malaysia melakukan perkara lebih buruk berbanding negara lain, tetapi ia benar-benar mengabaikan seperlima penduduk yang benar-benar mengalami kemiskinan.

“PBB juga mengeluarkan respons Putrajaya terhadap laporan Alston.

Putrajaya, sebagai maklum balas tinjauan Alston daripada lawatan penyelidikannya tahun lalu, berkata kadar kemiskinan 0.4% adalah daripada standard yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Malaysia mempertahankan kadar kemiskinan mutlaknya, yang dicatat pada 0,4% daripada jumlah isi rumah, atau 24,700 isi rumah pada 2016.

“Kadar kemiskinan ini diambil daripada piawaian yang diterima antarabangsa berdasarkan Buku Panduan Kumpulan Canberra mengenai Statistik Pendapatan Isi Rumah, Edisi Kedua (2011), yang diterbitkan oleh PBB.” – 7 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen