3 individu diberkas, 400 liter air ketum, ubat batuk disita


POLIS memberkas tiga lelaki disyaki pengedar air ketum termasuk seorang yang pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama, dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata dalam serbuan terbabit, polis turut merampas keseluruhan 400 liter air ketum dan cecair ubat batuk bernilai RM6,160.

Dalam serbuan pertama pada 3.30 petang, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun di sebuah rumah di Jalan PJS 2D/15D di Petaling Jaya selepas disyaki terlibat dalam pengedaran air ketum, katanya pada sidang media, di Petaling Jaya hari ini.

Katanya susulan tangkapan itu, polis melakukan pemeriksaan ke atas sebuah van di tepi Jalan PJS3/11, Taman Medan dan menemukan  235 botol plastik berisi cecair dipercayai air ketum serta beberapa peralatan yang disyaki diguna untuk memproses air ketum.

“Semakan polis mendapati suspek pernah ditahan kerana kesalahan sama tahun lepas dan dia dipercayai aktif dalam pengedaran air ketum sejak dua tahun lalu di sekitar Taman Medan, di sini,” katanya.

Nik Ezanee berkata kesemua rampasan air ketum itu dipercayai boleh dibekalkan kepada kira-kira 1,880 pelanggan.

Sementara itu, dalam satu lagi serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Lorong 17/22B, Seksyen 17 di sini, polis menahan dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 24 dan 26 tahun, kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran air ketum yang dicampur dengan ubat batuk di sekitar Sea Park serta Damansara.

Menerusi serbuan pada 10.30 malam itu, polis menemukan dua periuk besar di bahagian dapur yang mengandungi leraian daun ketum yang direbus dengan anggaran isipadu sekitar 45 liter.

Pemeriksaan lanjut menemukan 84 botol plastik berisi cecair ubat batuk dipercayai dicampur bersama air ketum serta satu botol plastik berisi air ketum di tingkat atas rumah itu, katanya.

“Kesemua suspek direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. – Bernama, 6 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen