Mesir tahan penyerang seksual bersiri


PIHAK berkuasa Mesir semalam menahan seorang lelaki yang didakwa mendera seksual berpuluh gadis dan wanita, dalam kes yang mencetuskan kemarahan seluruh negara, kata sumber keselamatan.

Dakwaan yang tular di media sosial sejak Rabu mendedahkan butiran terperinci penderaan seksual dan ugutan dihadapi wanita tersebut dilakukan lelaki itu.

Satu tuduhan malah mendakwa dia cuba mendera seksual seorang gadis berusia 14 tahun.

“Orang yang dituduh menganggu gadis sudah ditahan dan akan didakwa susulan tuduhan di media sosial,” kata sumber itu.

“Mereka yang terlibat (mangsa) perlu menghantar laporan rasmi mengenai penderaan dihadapi mereka,” tambah sumber.

Sumber bagaimanapun tidak mendedahkan identiti suspek.

Dalam kenyataan dikeluarkan, pihak pendakwaan Mesir berkata mereka sudah mengenal pasti lelaki itu dan siasatan sudah dilancarkan.

Menurut laporan di media sosial, yang pertama kali muncul di Instagram, penderaan itu berlaku bertahun lamanya.

Pendakwaan berkata mereka sudah menerima aduan daripada seorang mangsa mengenai suspek seawal November 2016.

Tanda pagar nama suspek tular di media sosial, memaksa tindakan pihak berkuasa.

Majlis Wanita Negara Mesir (NCW) membuat aduan rasmi kepada pihak pendakwaan untuk siasatan dibuat semalam.

“NCW mengikuti akaun media sosial di Instagram yang dilancarkan gadis dan wanita menadu lelaki itu merogol sebahagian mereka dan menyerang dan menganggu secara seksual yang lain,” katanya di Facebook.

Dilaporkan beberapa mangsa yang cuba mendapatkan pertolongan, lelaki itu juga memeras ugut mangsa dengan gambar dan rakaman jenayah itu.

Majlis mendesak mangsa membuat aduan rasmi kepada pihak pendakwaan.

Beberapa laporan dalam talian mencadangkan suspek adalah seorang pelajar universiti.

American University di Kaherah mengakui suspek adalah bekas pelajarnya yang berhenti pada 2018.

Dia “pada masa sekarang bukan pelajar American University di Kaherah,” kata kenyataan.

Gangguan seksual sering berlaku di Mesir.

Tinjauan PBB mendapati kebanyakan wanita Mesir diganggu secara seksual melalui pelbagai kaedah seperti gangguan panggilan, raba dan cabul.

Pihak berkuasa Mesir sudah menjadikan gangguan seksual sebagai jenayah pada 2014, tetapi ramai wanita mengadu ia masih berleluasa.– AFP, 5 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen