185 kes baharu Covid-19 di Singapura


Orang ramai memakai topeng muka ketika berjalan di sekitar kawasan membeli-belah di Singapura. Repubklik itu hari ini melaporkan 185 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan sembilan kes dalam komuniti. – Gambar EPA, 4 Julai, 2020.

MEMASUKI minggu ketiga fasa dua pembukaan semula ekonomi, Singapura hari ini melaporkan 185 kes baharu jangkitan Covid-19 dengan sembilan kes dalam komuniti.

Dengan perkembangan terbaharu itu, menjadikan jumlahnya kepada 44,664 kes di republik ini.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH), kes komuniti melibatkan empat rakyat Singapura atau penduduk tetap dan lima pemegang pas pekerja.

Sebagai tambahan, terdapat satu kes import membabitkan penduduk tetap Singapura yang ditempatkan di bawah Notis Duduk Rumah sebaik tiba di negara ini manakala baki kes baharu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama, menurut kementerian itu.

Menurut data lengkap yang dikeluarkan semalam, Singapura mengklasifikasikan 1,911 daripada kes dikaitkan dengan komuniti, 590 sebagai kes import dan 41,978 membabitkan pekerja asing di asrama.

Setakat tengah hari semalam, 39,769 atau kira-kira 89 peratus pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 223 kes disahkan masih berada di hospital semalam, dengan satu dirawat di unit rawatan rapi, menurut kementerian itu.

Kenyataan itu menambah bahawa 4,461 pesakit yang mempunyai gejala sederhana atau secara klinikal sihat tetapi masih diuji positif Covid-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Setakat ini, 26 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19, dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam. – Bernama, 4 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen