MySPC perlu tuntut gaji minimum RM2,700, kata MTUC


The Malaysian Insight

Majoriti pekerja di kawasan bandar akan berterusan mengalami masalah dan dibebani hutang isi rumah jika ia gagal dilaksanakan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Jun, 2020.

MAJLIS Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang diaktifkan semula mesti memastikan pekerja di kawasan bandar menerima pakej gaji RM2,700 sebulan, kata Majlis Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Tahap upah ini dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam laporan tahunan 2017 agar pekerja di kawasan bandar dapat mencapai taraf hidup minimum, kata Setiausaha Agung MTUC, J Solomon.

“Kami mendesak MySPC untuk menerajui perkara ini, jika tidak, majoriti pekerja Malaysia di bandar akan tetap mengalami masalah dan dibebani hutang isi rumah,” kata Solomon dalam satu kenyataan.

“Malah, harapan kerajaan untuk menarik mereka mengambil alih pekerjaan daripada pendatang asing akan gagal.”

Pekerjaan ini merangkumi pekerjaan 3D (berbahaya, kotor dan sukar) yang secara tradisinya dilakukan pekerja asing yang bergaji rendah.

Bagaimanapun, MTUC dan pakar tenaga kerja lain menegaskan rakyat Malaysia bersedia pergi ke Singapura, Korea Selatan dan Australia untuk pekerjaan yang serupa kerana gaji yang lebih baik.

Kos bagi skim seperti itu harus dikongsi antara kerajaan dan majikan, terutama pihak berkepentingan ekonomi utama yang bolehdiberi insentif dengan pemotongan cukai yang sesuai, kata Solomon.

Dilaporkan Putrajaya memutuskan untuk mengaktifkan semula MySPC bagi menjayakan agenda kesejahteraan sosial yang menyeluruh ketika ekonomi terus terjejas teruk dengan kesan wabak koronavirus.

Menteri Kabinet Mustapa Mohamed berkata majlis itu akan memfokuskan kepada empat bidang utama - bantuan sosial, insurans sosial, intervensi pasaran buruh dan data serta tadbir urus.

“Penambahbaikan ini bertujuan meningkatkan perlindungan keselamatan sosial masyarakat di setiap tahap kehidupan mereka memperluas perlindungan sosial kepada setiap rakyat Malaysia, dan memastikan tiada yang ketinggalan,” kata Mustapa pada 29 Jun.

MTUC hari ini juga membantah hujah yang dibuat oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang tahap upah RM2,700 akan menyebabkan perniagaan tempatan muflis.

“Tidak dapat dibayangkan selepas 60 tahun kemerdekaan dan ledakan ekonomi bertahun-tahun, majikan Malaysia masih mendakwa mereka akan muflis jika membayar gaji pekerja yang mencerminkan kos sara hidup di kawasan bandar.

“MTUC mencabar MEF untuk membuktikan tuntutan tidak masuk akal ini dengan fakta dan angka atau mengakui ia hanya membuat satu lagi tuduhan liar bagi merugikan pekerja bergaji rendah.”

MTUC menentang sebarang percubaan oleh ahli politik dan majikan untuk memaksa dan mengeksploitasi pekerja tempatan yang menganggur agar mengambil alih pekerjaan 3D daripada orang asing, tanpa melakukan usaha wajar bagi membantu ke arah tahap gaji lebih baik, kata Solomon. – 30 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen