Putrajaya digesa tingkat perdagangan dua hala dengan China


Khoo Gek San

Covid-19 menyaksikan perdagangan Malaysia dengan China menurun sebanyak 1.5% pada April 2020. – Gambar AFP, 1 Julai, 2020.

PERNIAGAAN tempatan menggesa Putrajaya mencari jalan untuk merangsang perdagangan antara Malaysia dan China, ketika Covid-19 dijangka terus menjejaskan perdagangan dua hala.

China adalah rakan dagang terbesar Malaysia selama 11 tahun berturut-turut. Perdagangan antara kedua-duanya berjumlah RM315.19 bilion pada 2019, merangkumi 17.2% daripada jumlah perdagangan keseluruhan negara.

Menurut data daripada Matrade, perdagangan Malaysia dengan China menurun sebanyak 1.5% pada April 2020, ketika Malaysia mencatat defisit perdagangan bulanan pertama sejak Oktober 1997.

Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Tan Yew Sing menjangkakan jumlah perdagangan dua hala bagi setahun penuh antara kedua-duanya akan lebih rendah tahun ini selepas separuh pertama yang lebih lemah disebabkan Covid-19.

Bagaimanapun, aktiviti perdagangan dijangka meningkat pada separuh kedua tahun ini.

Pandemik Covid-19 yang menjejaskan kira-kira 180 negara di seluruh dunia memaksa negara mengambil langkah serius untuk memutuskan rantaian jangkitan, termasuk menutup jalan keluar dan menghalang kemasukan warga asing.

Tan berkata Malaysia boleh mencontohi langkah pantas Singapura dan China, yang membenarkan perjalanan penting dan rasmi antara Singapura dan enam wilayah di China.

“Pertumbuhan perdagangan dan ekonomi Malaysia-China semakin meningkat sejak bertahun lamanya.

“Saya berharap kerajaan Malaysia dapat berbincang dengan China mengenai cara menangani kegiatan perdagangan dan ekonomi serta memudahkan perniagaan Malaysia berurus niaga dengan China,” kata Tan kepada The Malaysian Insight.

“Apa yang saya katakan di sini adalah kerajaan boleh mengenakan langkah keselamatan.

“Mungkin ada pembukaan sektor perniagaan langkah demi langkah yang serupa dengan peralihan daripada perintah kawalan pergerakan (PKP) ke perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP),” katanya.

Beliau juga berkata industri pembuatan kini terpaksa mencari pasaran di luar China untuk mendapatkan bahan mentah.

“Wabak yang bermula awal tahun ini memperlahankan perdagangan antara China dan Malaysia selama beberapa bulan.

“Saya percaya selepas pengalaman ini, banyak syarikat akan belajar bagaimana mempersiapkan diri bagi pemulihan pada separuh kedua tahun ini, dan memanfaatkan peluang perniagaan, terutama dengan perang dagang AS-China,” kata beliau.

Katanya, syarikat tempatan juga harus mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi canggih bagi menarik pelaburan.

Beralih kepada e-dagang

Tan juga berkata disebabkan wabak itu, banyak perniagaan di Malaysia dan China beralih kepada e-dagang, memaksa perniagaan untuk melihat semula cara perniagaan dilakukan termasuk mesyuarat maya dan lain-lain.

Beliau berkata Dewan sendiri awalnya dijadual mengadakan Persidangan Usahawan Malaysia-Cina pada Oktober, yang kini akan diadakan secara maya.

Katanya, usahawan perlahan-lahan mula membiasakan diri menjalankan perniagaan secara dalam talian.

Salah satu syarikat yang menggunakan e-dagang ialah Yee Lee Corp Bhd selepas operasi terjejas kerana Covid-19.

Pengasas dan ketua eksekutifnya Lim Kok Cheong, yang mempunyai operasi di China selama bertahun-tahun, berkata ia membolehkan lebih banyak perniagaan beralih kepada e-dagang.

“Syarikat kami menghasilkan minyak dan air mineral, yang merupakan keperluan.

“Oleh itu, ia masih beroperasi selama tempoh larangan pergerakan. Pergerakan orang terhad, dan perniagaan perlahan. Jumlah jualan akan lebih rendah.”

Beliau berkata syarikat itu meningkatkan penjualan dalam talian di China, dan unit perniagaannya di Malaysia dan China menggunakan platform dalam talian untuk melakukan jualan.

Lim berkata sebagai ahli perniagaan konservatif, beliau harus menyesuaikan diri teknologi baharu.

Bekas presiden ACCCIM Lim Kok Cheong berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terjejas oleh wabak tersebut.

Beliau menambah kecuali bagi sektor perubatan dan telekomunikasi, kebanyakan PKS terjejas teruk.

“Saya bernasib baik menjalankan perniagaan minyak masak dan air. Selepas wabak ini, syarikat mesti memahami bagaimana membuat perancangan lebih awal dan menyimpan aliran tunai. Apabila pasaran baik, ia akan berkembang maju dan apabila pasaran buruk, ia akan hilang.”

Beliau berkata selepas Covid-19, syarikat perlu mempelajari teknologi dan model perniagaan baharu.

“Kerajaan juga memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran perniagaan lebih mesra bagi perniagaan Malaysia dan China untuk menarik pelaburan asing,” katanya. – 1 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen