Rakyat Malaysia tip pemandu, penghantar Grab lebih RM2.4 juta sepanjang PKP


Rasa terima kasih rakyat Malaysia kepada mereka yang disifatkan sebagai petugas barisan hadapan itu bertambah 75% sepanjang tempoh pencegahan penularan Covid-19, kata Grab. – Gambar EPA, 27 Jun, 2020.

RAKYAT Malaysia memberi tip lebih RM2.4 juta kepada pemandu dan penghantar Grab sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak pertengahan Mac lalu, kata syarikat perkhidmatan pengangkutan itu.

Rasa terima kasih rakyat Malaysia kepada mereka yang disifatkan sebagai petugas barisan hadapan itu bertambah 75% sepanjang tempoh pencegahan penularan Covid-19, kata Grab.

“Ketika rakyat Malaysia menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, rasa terima kasih kita kepada mereka membantu menjadikan hidup kita lebih selesa juga bertambah.

“Ini terbukti daripada pelbagai cerita yang kami lihat dan dengar tentang bagaimana rakyat Malaysia menunjukkan penghargaan mereka kepada barisan hadapan,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Malah seorang pengguna begitu pemurah sehingga memberikan tip RM500, kata Grab.

Menurut syarikat itu, satu dalam setiap 30 tempahan perkhidmatan penghantaran makanan atau bungkusan, atau tumpang keretanya mendapat tip daripada pengguna.

Sebagai perbandingan, sebelum PKP kadar itu ialah satu dalam setiap 100 tempahan.

“Secara purata, seluruh rakyat Malaysia berbelanja lebih RM30,000 tip kepada pemandu dan penghantar (Grab),” kata kenyataan itu.

Jumlah keseluruhan tip paling banyak diberikan di Lembah Klang diikuti Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, dan Kuching.

Namun dari segi purata tip bagi setiap tempatan, Kuala Terengganu paling tinggi disusuli Kemaman, Langkawi, Kota Bharu, dan Alor Setar.

Perkhidmatan yang menerima paling banyak pula ialah penghantaran makanan Grabfood.

Perkhidmatan penghantar makanan dan barang jadi popular sejak PKP selepas kerajaan mengenakan pelbagai sekatan pergerakan dan perniagaan bagi membendung penularan Covid-19.

Setakat semalam, masih ada 191 kes jangkitan Covid-19 yang masih aktif di seluruh negara.

Secara keseluruhan, 8,294 pesakit telah sembuh, bersamaan dengan 96.4% daripada semua kes jangkitan sejak hujung Januari lalu. β€“ 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen