Mencari Al-Haq


Meor Yusof Aziddin

Dr Nasir Hashim, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), muncul dengan karya terbarunya, Mencari Al-Haq. Sebelum ini sejumlah buku telah beliau terbitkan, antaranya Antologi Sajak Tahanan (1990), Peneroka Bandar Menuntut Keadilan (1994) dan pada 2016 bukunya Spiritualiti, Fizik Kuantum dan Manusia diterbitkan, yang lari dari tema kemanusiaan dan perjuangan seperti karya-karya sebelumnya. – Gambar ihsan Kedai Hitam Putih, 3 Disember, 2017.

KALAU kita tanya, buku jenis apa yang biasanya laku dan boleh jual di pasaran hari ini, jawapannya tentulah jenis bacaan ringan atau novel-novel cinta remaja.

Siapa pula golongan pembelinya? Kebanyakan golongan pembelinya adalah dalam kalangan wanita, tidak kira sama ada mereka ini masih pelajar mahupun sudah berkerja.

Kebanyakan orang lelaki biasanya tidak minat membeli buku, mereka lebih suka meminjam dari kawan-kawan dan pengaruh dari internet juga antara alasan buku tidak laku di pasaran.

Kita lihat pula perkembangan dunia buku hari ini, agak memberangsangkan terutama buku-buku terbitan penerbit bebas seperti Fixi, Dubook, Lejen Press antaranya.

Para pembelinya dalam kalangan anak-anak muda yang sukakan elemen-elemen yang “rugged” sesuai dengan imej dan budaya mereka yang serba ranggi hari ini.

Bagaimana pula jenis bacaan yang berbentuk ilmiah dan penuh dengan  mesej yang membina, masih adakah pembelinya?

Sejarah membuktikan Rustam Sani sebagai penulis hebat tidak kaya dengan menjadi penulis, maknanya buku beliau tak laku di pasaran, sebab kurangnya minat membaca buku yang serius di kalangan masyarakat dari dulu sampailah sekarang.

Dewan Bahasa dan Pustaka juga jika tanpa sokongan dana dari pihak kerajaan sudah lama gulung tikar, ini kenyataan!

Tak apalah, walau dalam kalangan yang minoriti, buku-buku yang berbentuk ilmiah masih perlu diterbitkan dan berada di pasaran atas dasar tanggungjawab para penerbit mahupun pengkarya. Bukankah mendidik itu juga satu ibadah?

Dr Nasir Hashim, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), muncul dengan karya terbarunya, Mencari Al-Haq. Sebelum ini sejumlah buku telah beliau terbitkan, antaranya Antologi Sajak Tahanan (1990), Peneroka Bandar Menuntut Keadilan (1994) dan pada 2016 bukunya Spiritualiti, Fizik Kuantum dan Manusia diterbitkan, yang lari dari tema kemanusiaan dan perjuangan seperti karya-karya sebelumnya, begitu juga karyanya yang terbaru, Mencari Al Haq.

Saya mula mengenali Dr Nasir sewaktu pertama kali dijemput untuk membuat persembahan nyanyian di kawasan Kota Damansara ketika beliau masih menjadi wakil rakyat di kawasan itu 9 tahun yang lalu.

Dr Nasir, selaku orang kuat PSM, hidupnya serba sederhana sesuai dengan tema hidup yang diperjuangankan, membantu dan hidup di kalangan warga marhaen.

Maka tidaklah menghairankan bila bukunya yang sebelum ini dan juga yang terbaru Mencari Al Haq, lebih menjurus ke arah ketuhanan.

Menghasilkan buku berbentuk spiritual tidaklah semudah menulis novel cinta. Dan ia tidak menjanjikan pulangan keuntungan dari sudut komersial. Kebanyakan orang kita pula hanya suka mengaji, tak ramai yang suka mengkaji.

Pujian dan sokongan harus diberikan kepada pihak penerbit yang lebih menekankan aspek ilmiah berbanding komersial.

Usullah yang asal dan Mencari Al-Haq ini adalah buku tentang falsafah ketuhanan dalam kehidupan, bukan kitab hakikat mahupun makrifat.

Membaca kupasan dalam buku ini tentang pengertian tentang zat dan sifat, seperti saya membaca buku spiritualiti perkarya terkenal Indonesia, Achmad Chodjim yang mengupas tentang Sheikh Siti Jenar, pengamal aliran wahdatul wujud yang penuh kontroversi di zamannya.

Dr Nasir, dalam buku ini, membawa kita menyusurii jalan dan kefahaman dalam menilai pengertian asal dan usul dalam konteks yang mudah di fahami.

Dan yang paling penting, Dr Nasir berjaya menghubungkaitkan faham hakikat dalam konteks sains dan fizik. Ilmu hakikat adalah tentang mengenal diri, tentang siapa kita. Intinya adalah mencari jalan pulang.

Buku beliau yang sebelumnya, “Spiritualiti, Fizik Kuantum & Manusia” yang diterbitkan pada 2016 hanya terjual sebanyak 300 naskah. 300 naskah bukanlah satu jumlah yang memberangsangkan, namun seperti yang saya katakan tadi, bukankah menulis tentang perkara baik itu juga satu bentuk ibadah?

Dr Nasir mengambil tempoh masa selama 6 bulan untuk menghasilkan buku barunya ini, visinya hanya untuk berkongsi ilmu dan pengetahuan dengan pembaca.

Selain berbakat dalam bidang penulisan, beliau juga seorang pelukis yang berbakat, di mana reka bentuk kulit buku ini adalah hasil dari catan beliau sendiri.

Seperti harapan sederhana dari penerbitnya, buku yang berbentuk ilmiah walaupun tidak menjanjikan pulangan yang menguntungkan, atas dasar tanggungjawab sesama insan, itu lebih memberi kepuasan dari menghasilkan novel cinta yang tak pernah siap di minda masyarakat. – 3 Disember, 2017.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen