Orang Asli hilang lebih banyak tanah kerana Musang King


Sheridan Mahavera

Durian bernilai tinggi kini jadi alasan untuk pihak tertentu menggunakan tanah adat Orang Asli. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

DI sebuah perkampungan Orang Asli terletak hampir setengah jam dari bandar Jerantut, Pahang, ada dusun ditanam pelbagai jenis durian termasuklah Musang King bernilai tinggi.

Tetapi sebahagian besar hasil taninya tidak jadi milik Orang Asli suku Temiar kampung itu walaupun hak milik tanah terletaknya dusun itu sedang dibicarakan di mahkamah. 

“Pada 2016, kami memfailkan tuntutan di mahkamah untuk tanah adat kami termasuklah tanah dusun itu,” kata jurucakap Kampung Sungai Mai Yusri Ahon.

“Tetapi, walaupun status tanah itu masih jadi kes mahkamah, pemilik dusun itu entah bagaimana berjaya mendapatkan gerannya. Persoalannya bagaimana pejabat tanah boleh beri geran tanah yang sedang jadi rebutan?”

Pengalaman penduduk Kampung Sungai Mai bukanlah asing, ia sering berlaku di penempatan Orang Asli seluruh negara apabila tanah adat mereka perlahan-lahan diambilalih industri pertanian.

Aktivis Orang Asli mendakwa konflik antara penduduk dan industri pertanian semakin hebat berlaku, yang paling jadi tumpuan adalah sekatan berbulan lamanya di Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan pada 2018.

Bagaimanapun, sekatan di Kaleg hanyalah salah satu kejadian yang diketahui umum sedangkan terdapat banyak lagi kejadian sama berlaku termasuklah di Kampung Sungai Mai yang penduduknya kehilangan tanah adat kepada penanam durian.

Bezanya, sehingga kini ia tidak mendapat liputan meluas.

Sekatan pintu keluar masuk di Gua Masang bukan kes terpencil penentangan Orang Asli terhadap pencerobohan tanah adat mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

Aktivis memberitahu The Malaysian Insight yang punca utama isu ini timbul adalah kerana kerajaan negeri, seperti Pahang dan Kelantan, tidak mengiktiraf tuntutan tanah adat dibuat Orang Asli.

Pengabaian ini berlaku walaupun Perlembagaan Persekutuan dengan nyata mengiktiraf hak komuniti itu untuk menuntut tanah adat mereka.

Tuntutan terhadap durian terutamanya jenis Musang King di China menyebabkan pekebun perlahan-lahan menceroboh tanah dituntut Orang Asli untuk memenuhi permintaaan.

“Dulu pembalak, kemudian kelapa sawit dan getah. Kemudiannya, sayur dan buah. Sekarang yang popular adalah Musang King,” kata Yusir yang mengetuai kumpulan pembela hak Jaringan Orang Asli Semenanjung (JOAS).

Selain Sungai Mai dan Pos Tohoi, penduduk di Kampung Kelaik, juga di Gua Musang turut berdepan masalah sama- melawan penanam Musang King, kata Centre for Orang Asli Concerns (COAC).

Di Bukit Fraser, berhampiran Raub dan Bentong, terdapat dusun yang terletak sangat hampir dengan penempatan Orang Asli, kata Pengarah Eksekutif COAC Dr Colin Nicholas.

“Dusun ini ada geran tanah sah. Tetapi asal usul tanah secara sejarahnya digunakan Orang Asli sebagai tanah adat mereka,” kata Nicholas.

Tetapi, disebabkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf konsep tanah adat, tanah ini boleh dijual kepada pihak persendirian, kata Yusri daripada JOAS.

Rampasan tanah adat

Tanah adat adalah kawasan hutan yang mengelilingi perkampungan Orang Asli, menjadi sumber makanan, ubat-ubatan, air dan agama mereka.

Yusri membandingkan konsep tanah adat dengan bandar untuk penduduk kota.

“Anda tinggal di rumah, tetapi anda pergi ke bandar untuk beli barang, klinik dan rumah ibadat,” katanya.

Konflik antara Orang Asli, kerajaan negeri dan syarikat swasta hampir semuanya berkaitan dengan tanah adat, tambahnya.

Disebabkan kerajaan negeri tidak mengiktiraf tanah adat, kawasan itu dalam peta tanah rasmi kelihatan seperti kosong tidak berpenghuni.

“Jadi pekebun boleh ke pejabat daerah dan beli geran tanah walaupun ia sebenarnya tanah adat berhampiran perkampungan Orang Asli,” kata Yusri lagi.

Orang Asli seluruh Malaysia berdepan cabaran besar berdekad lamanya mempertahankan hak tanah adat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2020.

Kaedah inilah yang digunakan pemilik dusun, seperti yang terletak berhampiran Kampung Sungai Mai, sehingga mereka berjaya mendapatkan geran tanah walaupun status kawasan itu sedang dibicarakan di mahkamah, kata Yusri.

Tanah adat sekitar Kampung Sungai Mai turut diisi pelbagai tanaman lain seperti kelapa sawit, getah, pisang dan sayur-sayuran, katanya.

Nicholas daripada COAC pula berkata Musang King adalah alasan terbaru digunakan dalam isu “rampas tanah” yang mencabul hak asasi Orang Asli di Malaysia yang sudah berlanjutan berdekad lamanya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam laporannya mendapati kehilangan tanah adat menjejaskan kualiti hidup dan kesihatan komuniti Orang Asli.

“Pertanian hanyalah alasan untuk mendapatkan tanah murah dengan membentuk bank tanah. Akhirnya, sebilangan kawasan ini dibangunkan jadi bandar dan tanah akan jadi mahal.

“Jika mereka benar-benar hanya mahu tanam Musang King, mereka boleh sewa tanah dan layan Orang Asli sebagai tuan tanah.

“Mereka akan dapat pekerja yang akan duduk berhampiran dusun dan jaga pokok mereka. Tetapi, isu ini bukan kerana Musang King. Ia soal mahu ambil tanah.” – 27 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen